Header Ads

test

RAMADAN MEDAN PERKUKUH PERSAUDARAAN, JADIKAN KEDAH LEBIH SEJAHTERA

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyeru seluruh rakyat negeri ini menjadikan Ramadan 1447H sebagai medan memperkukuhkan persaudaraan dan merapatkan saf kebersamaan demi membina Kedah yang lebih sejahtera dan diberkati.
Menteri Besar Kedah itu berkata, perbezaan tidak wajar dijadikan jurang pemisah, sebaliknya perlu diraikan sebagai kekuatan untuk mengukuhkan perpaduan dan kestabilan negeri.
“Ingatlah, sebuah negeri tidak dibangunkan oleh bangunan semata-mata, tetapi oleh jiwa-jiwa yang bersatu, hati-hati yang saling percaya serta tekad yang tidak mudah goyah ketika diuji,” katanya dalam perutusan sempena menyambut Ramadan 1447H, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya golongan yang berdepan kesempitan hidup.
“Kepada mereka yang diuji dengan kesempitan hidup, ketahuilah anda tidak pernah dipinggirkan. Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan tiada yang tertinggal daripada merasai sinar Ramadan,” ujarnya.
Pada masa sama, Sanusi berharap golongan yang dikurniakan kelebihan rezeki memanfaatkan bulan mulia ini untuk memperluaskan kebajikan dan berkongsi nikmat dengan golongan memerlukan.
“Terserlah kemuliaan sesebuah masyarakat apabila yang kuat melindungi yang lemah, dan yang senang mengangkat yang susah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Ramadan tidak seharusnya dijadikan bulan untuk menjamu selera sepuasnya, sebaliknya menjadi penanda aras kualiti iman dan takwa.
“Jadikanlah ibadah puasa sebagai ruang mendidik diri serta meningkatkan kekuatan rohani dan jasmani.
“Ramadan bukan sekadar ‘tetamu’ tahunan, tetapi anugerah Ilahi yang mengajak kita berhenti sejenak daripada hiruk-pikuk dunia, bermuhasabah dan kembali mendengar suara hati serta tuntunan iman,” katanya.
Tambah beliau, Ramadan mendidik umat Islam memahami erti sabar, menundukkan keangkuhan diri dan menyedari bahawa kekuatan sebenar manusia bukan terletak pada apa yang dimiliki, tetapi pada keikhlasan memberi serta kesediaan berkongsi.
“Semoga Ramadan 1447H ini bukan sahaja menambah amal, tetapi turut memperteguh harapan, menyatukan langkah dan membawa Kedah menuju masa depan yang lebih gemilang.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah dan seluruh kepimpinan, saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak kepada semua umat Islam.
“Semoga setiap detik yang kita lalui sepanjang Ramadan dihiasi rahmat, diampuni segala khilaf dan diterima segala amal,” katanya.
Beliau turut mengajak umat Islam mensyukuri nikmat usia yang dipanjangkan untuk kembali bertemu Ramadan, bulan yang sentiasa dinanti kehadirannya dan dirindui pemergiannya.

Tiada ulasan