KERJA SUKARELA BESAR GANJARANNYA DI SISI ALLAH SWT, HARGAI SUMBANGAN MEREKA - SANUSI
Roslinda Hashim
SIK - Bekerja secara sukarela yang dilakukan guru-guru al-Quran, jurumandi jenazah, penggali kubur, bomoh patah dan bidan kampung bukan sesuatu yang kecil atau tidak bernilai, sebaliknya besar ganjarannya di sisi ALLAH SWT.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, khidmat golongan berkenaan dilaksanakan secara sukarela namun mempunyai keistimewaan tersendiri di sisi ALLAH SWT.
Menurutnya, biarpun pada pandangan orang mungkin tiada nilai, namun kerja-kerja sukarela ini bukan sesuatu yang lekeh kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat selain memenuhi tuntutan fardu kifayah.
“Inisiatif ini merupakan kesinambungan amanah yang dipelopori bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada tahun 2009, ketika itu saya merupakan Setiausaha Politik Allahyarham .
“Pada peringkat awal bantuan diberikan kepada guru al-Quran dan bidan kampung sebelum diperluaskan kepada bomoh patah, penggali kubur dan jurumandi jenazah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Daerah Sik di Masjid Al-Maarif, Mukim Jeneri, di sini.
Seramai 300 penerima di daerah ini menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka yang selama ini berkhidmat tanpa mengharapkan balasan.
Bagi DUN Jeneri, seramai 150 penerima menerima sumbangan melibatkan 82 orang di Mukim Jeneri dan 68 orang di Mukim Teloi, terdiri daripada 54 guru al-Quran, jurumandi jenazah (34), penggali kubur (54), serta bomoh patah dan bidan kampung masing-masing empat penerima.
Sementara, DUN Belantik melibatkan 150 penerima, iaitu 105 orang di Mukim Sik dan 45 orang di Mukim Sok, terdiri daripada 46 guru al-Quran, jurumandi jenazah (33), penggali kubur (49), bomoh patah (13), bidan kampung (3) dan mualaf seramai enam orang.
Sanusi turut melahirkan kebimbangan terhadap trend pembelajaran al-Quran secara dalam talian yang menurutnya lebih bersifat komersial dan kurang membina hubungan rohani antara guru dan murid.
“Kebanyakan anak zaman sekarang mengaji secara online, ustaz atau ustazah pun tidak pernah jumpa. Belajar hanya melalui telefon, bayar yuran, hubungan sekadar komersial.
“Zaman dulu, guru al-Quran jarang diberi upah tetap. Mereka mengajar setiap malam dengan penuh pengorbanan. Keluarga yang mampu hanya beri sumbangan seikhlas hati, bukan bayaran tetap seperti hari ini.
“Jika boleh, belajar bersemuka dengan guru al-Quran diteruskan. Dengan pendekatan tradisional ini, anak-anak lebih mengenali huruf, lancar membaca dan mengenang jasa guru,” katanya.
Sanusi tegaskan, meskipun sumbangan yang diberikan tidak besar, ia menjadi simbol ingatan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap insan-insan yang menghidupkan sendi agama serta memelihara kesejahteraan masyarakat.
“Ini tanda kita menghargai jasa mereka. Mungkin kecil pada pandangan sesetengah pihak, tetapi besar maknanya dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat,” katanya.
Tambah beliau, kehidupan masyarakat terdahulu juga dilihat lebih teratur kerana setiap generasi memahami peranan masing-masing.
“Orang tua memberi nasihat dan pedoman, orang muda mendengar serta mematuhi. Ilmu diturunkan secara turun-temurun, termasuk kepakaran tertentu kepada generasi pelapis seperti bidan dan bomoh patah,” jelasnya.

Post a Comment