RM75,000 PERKASAKAN PAWE, IKTIRAF PERANAN WARGA EMAS
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuhkan komitmen terhadap kebajikan warga emas apabila menyalurkan peruntukan keseluruhan RM75,000 kepada 15 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan, Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah Saad berkata, peruntukan menerusi Geran Pentadbiran Tahun 2026 sebanyak RM5,000 bagi setiap PAWE itu disifatkan sebagai langkah strategik memperkasakan pusat sokongan komuniti itu agar lebih inklusif, aktif dan berdaya tahan.
Menurut beliau, bantuan tersebut bukan sekadar suntikan kewangan, sebaliknya simbol pengiktirafan terhadap peranan besar warga emas dalam masyarakat.
“Geran ini adalah mesej jelas bahawa Kerajaan Negeri melihat warga emas sebagai aset, bukan beban. Kita mahu PAWE menjadi platform yang menghidupkan semangat mereka, merapatkan jurang generasi muda dan tua, serta membina komuniti yang lebih penyayang dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Geran Pentadbiran PAWE Negeri Kedah Tahun 2026 di PAWE Jalan Stadium, Alor Setar, hari ini.
Menurut Halimaton Shaadiah, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha berterusan yang digerakkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah bersama semua PAWE melalui pendekatan pendampingan sosial dan program pembangunan warga emas yang dijalankan secara kolaboratif melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
“PAWE bukan hanya pusat aktiviti harian. Ia adalah ruang komuniti yang menyatukan generasi, memupuk kesejahteraan fizikal dan mental serta memberi peluang kepada warga emas untuk terus menyumbang pengalaman dan kebijaksanaan mereka kepada masyarakat,” ujarnya.
Tambah beliau, penyaluran geran tersebut diharap menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program lebih kreatif dan berimpak tinggi, sekali gus meningkatkan penyertaan aktif warga emas dalam aktiviti sosial dan komuniti.
Dalam pada itu, Halimaton Shaadiah memaklumkan kerajaan negeri sedang mengusahakan geran tambahan RM5,000 bagi setiap PAWE sebagai bukti komitmen berterusan dalam melabur untuk kesejahteraan golongan berkenaan.
“Kepada semua PAWE yang menerima geran hari ini, manfaatkan peruntukan ini dengan penuh amanah, kreativiti dan inovasi agar impaknya benar-benar dirasai oleh komuniti warga emas.
“Saya berharap usaha ini menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem sokongan warga emas yang lebih holistik, inklusif dan mampan di negeri Kedah,” katanya.

Post a Comment