TIGA PESAKIT TERLANTAR DUN DERGA TERIMA BANTUAN BSPT
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad, bukan sekadar membawa sumbangan, tetapi juga senyuman buat tiga pesakit terlantar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga.
Tiga individu terpilih menerima Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar (BSPT) yang dikunjungi berhadapan masalah kesihatan yang serius, iaitu Norazman Abdullah, 52, dan Abd Latif Ishak, 71, masing-masing pesakit strok selain Che Sepiah Ibrahim, 78, yang mengalami patah cabang paha akibat terjatuh dari kerusi.
“Melihat wajah mereka, kita faham betapa besar cabaran yang mereka lalui setiap hari. Bantuan ini bukan sekadar wang, tetapi tanda bahawa mereka tidak keseorangan,” kata Halimaton Shaadiah.
Beliau berkata, lawatan itu turut disertai agensi berkaitan, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan bantuan bulanan RM500 dan BSPT secara one-off.
“Baitulmal menyumbang RM1,000 setiap penerima, manakala Lembaga Zakat Negeri Kedah menyalurkan RM500 tambahan bagi meringankan beban mereka,” katanya.
Hadir sama, ADUN Derga, Muhamad Amri Wahab; wakil kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Amir Ishak serta Timbalan Pengarah JKM Kedah, Nor Asikin Ibrahim.
Halimaton Shaadiah menegaskan, program berterusan ini bertujuan memastikan golongan yang diuji kesihatan terus mendapat perhatian, dan rasa dihargai.
“Sedikit bantuan boleh membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka,” ujarnya.

Post a Comment