Header Ads

test

LRA LUBUK BUNTAR LAMA TINGKATKAN BEKALAN AIR DI BANDAR BAHARU

 

Roslinda Hashim
BANDAR BAHARU - Projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama yang siap sepenuhnya pada Januari dijangka memberi impak besar terhadap peningkatan bekalan air terawat kepada penduduk di daerah ini dan kawasan sekitarnya.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Ir. Mohd Fisal Ismail berkata, projek tersebut yang bermula sejak 2020 itu telah berjaya disiapkan mengikut perancangan walaupun berdepan cabaran pelaksanaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurut beliau, kontrak utama projek itu diserahkan kepada United AAD Sdn. Bhd. pada 2 Mei 2021, manakala sijil perakuan siap kerja (CPC) dikeluarkan pada 8 Januari 2026.
“Skop projek ini melibatkan kerja menaik taraf pemasangan muka sauk sedia ada di Sungai Kerian, pemasangan paip saluran utama serta pembinaan tangki air baharu di beberapa lokasi sekitar daerah Bandar Baharu,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Mohd Fisal berkata, antara komponen utama projek ialah pembinaan tangki air di Kampung Air Putih dan Relau masing-masing berkapasiti 300 meter padu, selain pembinaan tangki menara di Pekan Selama berkapasiti 2,700 meter padu.
Katanya, projek itu turut melibatkan kerja membaik pulih beberapa tangki sedia ada termasuk tangki R2 dan R3 di Pekan Serdang serta tangki R5 di Pekan Bandar Baharu, selain penggantian tangki air Bukit Perangin.
“Selain itu, sebuah rumah pam baharu turut dibina di Air Putih bagi membekalkan air ke tangki Relau yang telah mula beroperasi sejak 27 Mac tahun lalu dan memberi manfaat kepada 590 akaun pengguna,” ujarnya.
Tambah beliau, projek tersebut turut melibatkan penanaman paip sepanjang 45.9 kilometer dari loji rawatan air ke Pekan Selama, yang turut berdepan cabaran utiliti sedia ada serta kerosakan jalan sepanjang pelaksanaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, bekalan air telah pun disalurkan lebih awal ke beberapa kawasan termasuk Relau sejak setahun lalu hasil kerjasama dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA).
“Dengan siapnya projek ini, saya yakin SADA mempunyai lebih banyak opsyen bagi memastikan bekalan air optimum dapat disalurkan kepada penduduk dan juga sektor industri,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kejayaan projek itu membuktikan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan pembangunan infrastruktur air berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat di daerah Bandar Baharu.
“Harapan kami agar semua projek yang diamanahkan kepada JKR akan dilaksanakan sebaik mungkin bagi menjayakan lebih banyak projek pembangunan pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan