Header Ads

test

MASALAH AIR SEKIAN LAMA BERAKHIR, LRA LUBUK BUNTAR LAMA SIAP DINAIK TARAF

 

Roslinda Hashim
BANDAR BAHARU - Projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama bernilai RM51.99 juta siap sepenuhnya pada 8 Januari lalu dan ia menyelesaikan masalah bekalan air melibatkan kira-kira 12,000 akaun di daerah ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek tersebut menjadi detik penting dalam sejarah pembangunan bekalan air khususnya di Bandar Baharu selepas sekian lama penduduk berdepan tekanan air rendah dan gangguan bekalan.
“Dengan siapnya LRA Lubuk Buntar Lama yang dinaik taraf ini, kita bukan sahaja merasmikan sebuah projek, tetapi meraikan penyelesaian kepada masalah rakyat yang telah berlarutan begitu lama,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama di sini, hari ini.
Menurut beliau, LRA berkenaan kini mempunyai kapasiti 34 juta liter sehari (MLD) berbanding sebelum ini, manakala LRA Lubuk Buntar Baru sedia ada beroperasi pada kapasiti 25 MLD.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti bekalan air di kawasan ini meningkat kepada 59 MLD, sekali gus mampu memenuhi keperluan penduduk di daerah Bandar Baharu serta sebahagian kawasan Kulim,” katanya.
Sanusi berkata, Kerajaan Negeri memahami isu bekalan air terawat di kawasan tersebut bukan perkara baharu, terutama melibatkan kawasan luar bandar dan hujung rangkaian paip yang sering mengalami tekanan air rendah.
“Sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada Mei 2020, pelbagai usaha digerakkan termasuk menaik taraf LRA berkenaan, namun pelaksanaannya berdepan cabaran besar akibat pandemik COVID-19.
“Ketika itu berlaku kekurangan bekalan bahan binaan kerana kilang tidak beroperasi, selain peningkatan mendadak harga bahan binaan yang memberi tekanan kepada kontraktor. Namun akhirnya projek ini berjaya disiapkan sepenuhnya pada 8 Januari 2026,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau jelaskan, semua projek LRA dilaksanakan secara tender terbuka kecuali LRA Pelubang yang mendapat kelulusan khas Kerajaan Persekutuan ketika itu melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kementerian Kewangan.
“Projek itu dianugerahkan kepada Bina Darulaman Berhad (BDB) dengan pembiayaan pinjaman RM431 juta yang perlu dibayar balik oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kerja Raya, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat Daerah serta wakil rakyat yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.
“Tidak ketinggalan juga kepada United AAD Sdn Bhd selaku kontraktor utama dan HSS Integrated Sdn Bhd selaku Perunding Utama.
“Paling saya hargai adalah kesabaran penduduk Bandar Baharu yang lama menanggung kesulitan akibat masalah air, namun daerah ini antara yang paling kurang membuat aduan,” katanya.
Beliau turut memohon maaf kepada rakyat atas kesulitan dialami sebelum ini dan memberi jaminan Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan bekalan air menjadi kemudahan asas yang stabil dan berkualiti.
“Inilah yang kita perjuangkan supaya rakyat dapat menikmati kemudahan asas yang sepatutnya tanpa perlu lagi berdepan kesusahan.
“Saya memahami betapa susahnya terpaksa catu penggunaan air setiap hari. Ada yang terpaksa simpan air dalam tong, ada yang terpaksa berjaga malam tadah air, terpaksa tunggu lori tangki, dan ada yang terpaksa berjimat dalam keadaan yang sepatutnya tidak berlaku.
“Saya mendengar masalah dan kita usahakan penyelesaian secara berperingkat tetapi menyeluruh. Kita tidak mahu lagi isu air menjadi beban kepada rakyat,” katanya.

Tiada ulasan