Header Ads

test

DUN KEDAH LANTIK SEMULA ABD NASIR, MUSODDAK SEBAGAI SENATOR


Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini bersetuju sebulat suara melantik semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris dan Setiausaha PAS Kedah, Musoddak Ahmad sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri ini berkuat kuasa 20 Mac 2026.
Perkara itu diumumkan Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad selepas menerima satu cadangan daripada Kerajaan Negeri yang mendapat sokongan penuh Ahli Dewan.
Cadangan pelantikan semula tersebut dikemukakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Zubir memaklumkan, beliau telah menerima surat persetujuan yang ditandatangani Abd Nasir dan Musoddak bagi pelantikan semula jawatan tersebut selepas tempoh perkhidmatan mereka berakhir pada 19 Mac lalu.
“Selaras dengan kehendak Jadual Ketujuh Perlembagaan Malaysia, DUN Kedah yang bersidang hari ini bersetuju memilih untuk melantik semula Abd Nasir dan Musoddak sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa 20 Mac 2026.
“Saya hanya menerima satu cadangan untuk pemilihan ini daripada Kerajaan Negeri. Oleh demikian, saya dengan rasminya mengesahkan DUN Kedah yang bersidang bersetuju melantik semula Abd Nasir dan Musoddak sebagai Ahli Dewan Negara,” ujarnya.

Tiada ulasan