Header Ads

test

TAHUN MELAWAT KEDAH 2025 CAPAI SASARAN 7 JUTA PELANCONG

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 berjaya mencapai sasaran tujuh juta pelancong berdasarkan data kemasukan di lokasi pelancongan utama, pintu sempadan serta rekod pergerakan di lapangan terbang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin, Kerajaan Negeri menganggarkan dengan kehadiran 7 juta pelancong, sektor pelancongan Kedah berpotensi menjana ekonomi antara RM4.9 bilion hingga RM7 bilion melalui perbelanjaan pelancong bagi penginapan, makanan, pengangkutan, membeli-belah serta aktiviti pelancongan.
“Kejayaan kempen TMK 2025 tidak diukur melalui satu indikator semata-mata, sebaliknya merangkumi beberapa petunjuk prestasi sektor pelancongan secara menyeluruh.
“Peningkatan ketara turut direkodkan di pelbagai destinasi pelancongan utama negeri termasuk muzium, pusat rekreasi, galeri serta lokasi eko-pelancongan, sekali gus menunjukkan minat pelancong yang semakin meningkat terhadap Kedah sebagai destinasi pilihan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abd Ghafar Saad (BERSATU - Guar Chempedak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Kata Mohd Salleh, perkembangan positif itu turut disokong oleh peningkatan pergerakan penumpang dan pesawat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar serta Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, yang mencerminkan kemasukan pelawat yang semakin rancak sepanjang tempoh kempen.
Jelasnya, dari sudut ekonomi, kehadiran pelancong dalam jumlah besar itu memberi limpahan kepada pelbagai sektor termasuk pengusaha hotel, homestay, peniaga kecil, pengusaha produk tempatan serta pemain industri pelancongan di seluruh negeri.
“Perkembangan ini turut meningkatkan keyakinan pelabur dengan kemunculan pelbagai produk pelancongan baharu seperti hotel, resort glamping serta taman rekreasi di beberapa lokasi di Kedah.
“Kempen tersebut juga berjaya meningkatkan penjenamaan dan keterlihatan Kedah sebagai destinasi pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa melalui pelbagai program promosi, kerjasama media serta penganjuran acara pelancongan,” kata beliau.

Tiada ulasan