ISU KESELAMATAN RAKYAT DAN PERAIRAN DI PULAU LANGKAWI PERLU DIBERI PERHATIAN SERIUS
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kemasukan warga asing secara tidak terkawal dikhuatiri menjejaskan ekonomi yang diusahakan penduduk tempatan di Langkawi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Shamsilah Siru berkata, Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan segera dengan memperkukuh kawalan keselamatan bagi mengekang kemasukan warga asing yang boleh merencatkan ekonomi pulau tersebut.
“Meskipun kita difahamkan bahawa kita mempunyai peralatan dan aset canggih untuk mengesan pergerakan entiti asing yang menghampiri perairan di sekeliling pulau, namun ternyata masih ada pencerobohan yang berjaya membolosi kawalan.
“Masih ada kes kecurian perahu di pengkalan kerja yang kemudiannya dibawa balik ke negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan aspek kedaulatan negara perlu dipantau secara berterusan tanpa kompromi.
“Jangan disebabkan peningkatan kos seperti harga minyak, rondaan dikurangkan kerana keadaan ini akan membuka ruang lebih luas kepada pencerobohan,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan juga perlu menambah aset dan keanggotaan sekiranya terdapat kekurangan bagi memastikan kawalan keselamatan lebih berkesan.
“Begitu juga dengan kawalan di pintu masuk seperti jeti penumpang dan RORO yang harus melalui pemeriksaan yang lebih ketat bagi menangani kemasukan bahan-bahan terlarang yang dikhuatiri memberi kesan negatif kepada kesejahteraan penduduk di pulau,” katanya.
Tambah beliau, isu telekomunikasi yang lemah di kawasan teluk turut membimbangkan, terutama dalam situasi kecemasan.
“Kerap kali aduan diterima daripada para nelayan berkenaan kesukaran menyalurkan maklumat dengan segera apabila berlaku kerosakan bot atau pencerobohan nelayan asing,” katanya.

Post a Comment