KRISIS MINYAK HANGATKAN DUN KEDAH, ISU HUBUNGAN IRAN DAN HARGA BAHAN API JADI TUMPUAN
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Isu krisis minyak global mencetuskan perbahasan hangat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini, apabila beberapa wakil rakyat membangkitkan tindakan Kerajaan Persekutuan dalam menangani bekalan dan harga bahan api negara.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, hubungan Malaysia dengan Iran bukan sesuatu yang luar biasa dan telah lama terjalin sejak era pentadbiran terdahulu.
“Tentang hubungan baik dengan Iran, ini komunikasi saja. Tak ada apa-apa istimewa, perkara biasa.
“Kalau kita nak puji Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), sebab telefon Presiden Iran, lekeh sangat. Sepatutnya Perdana Menteri tak beritahu rakyat dia call siapa? Perdana Menteri tak perlu bagi tahu, tahu-tahu selesai masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Bau Wong Bau Ek (PKR-Sidam) berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam menyelesaikan isu kapal minyak Malaysia di perairan Iran.
Menurut Haim Hilman, tindakan menghubungi pemimpin negara lain adalah perkara biasa dalam hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan tidak wajar dianggap sebagai pencapaian luar biasa.
“Kalau sekadar panggilan telefon, itu memang tugas Perdana Menteri untuk berkomunikasi dan menentukan hala tuju negara. Tidak perlu diangkat sebagai sesuatu yang istimewa,” katanya.
Beliau jelaskan, hubungan Malaysia-Iran telah dibina sejak sekian lama, termasuk ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah membantu Iran ketika berdepan sekatan ekonomi dengan menghantar minyak sawit.
Mengulas lanjut, beliau turut membangkitkan kekeliruan komunikasi melibatkan isu laluan kapal di Selat Hormuz apabila terdapat percanggahan kenyataan antara Iran dan Malaysia berhubung caj yang dikenakan.
“Iran kata laluan percuma, kita kata perlu bayar sehingga RM80 juta. Perkara ini mengelirukan rakyat dan menunjukkan kelemahan strategi komunikasi kerajaan. Apa benda ni semua? Strategi komunikasi sangat penting,” katanya.
Menjawab persoalan mengenai perancangan stok bekalan minyak semasa tempoh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) selama 33 bulan, Haim Hilman menegaskan, kerajaan ketika itu memberi tumpuan kepada kelangsungan hidup rakyat susulan pandemik COVID-19.
“Ketika itu COVID-19, nasib baik YB masih ada dalam Dewan ini. Ketika itu fokus utama menyelamatkan nyawa dan membantu rakyat. Berbilion ringgit disalurkan untuk bantuan dan pemulihan ekonomi,” katanya.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (BERSATU - Kota Siputeh) yang bangun mencelah, dengan mempersoalkan dakwaan kekurangan stok minyak negara sedangkan pada masa sama berlaku eksport ke Filipina.
Beliau turut membangkitkan isu kawalan eksport gas petroleum cecair (LPG) agar keutamaan dapat diberikan kepada keperluan domestik ketika krisis.
Menjawab perkara itu, Haim Hilman turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak memanfaatkan sepenuhnya hasil LPG negara ketika krisis global untuk membantu menstabilkan harga bahan api domestik.
“Dalam keadaan harga global tinggi, kita sepatutnya maksimumkan hasil dan salurkannya semula sebagai subsidi kepada rakyat.
“Kita boleh komersialkan, jual pada harga tinggi. Kenapa kerajaan senyapkan jualan ini ke pasaran dunia yang menjana berbilion-bilion ringgit,” katanya.
Loh Wei Chai (PKR - Bakar Arang) turut mencelah mempersoalkan perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri berdepan situasi tersebut, sekali gus menambah kehangatan perbahasan sidang DUN hari ini.
Bagaimana pun, Mohd Ashraf Mustaqim sempat mencelah dengan sinis, “Kalau kami bagi solusi, baik kami jadi kerajaan.”
Sebelum mengakhiri sesi, Haim Hilman turut mempertikaikan kewujudan perbezaan harga bahan api antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak, yang disifatkan sebagai jurang ketara dan membebankan rakyat.
Bagaimana seorang pemimpin mahu menyatukan rakyat jika wujud perbezaan harga yang besar dalam negara sendiri? Ini adalah manifestasi kegagalan Kerajaan Madani yang gagal menjaga kebajikan seluruh rakyat. Kalau begitu PMX jadi Perdana Menteri Sabah Sarawak saja,” katanya.

Post a Comment