Header Ads

test

LZNK PERKUKUH KESIAPSIAGAAN HADAPI KETIDAKTENTUAN EKONOMI GLOBAL

 

Nur Akasyah Sabri

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperkukuhkan langkah kesiapsiagaan strategik bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global semasa, termasuk potensi kesan konflik antarabangsa terhadap kutipan dan agihan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman berkata, sebagai agensi yang menggalas amanah ummah, LZNK perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan krisis global yang boleh memberi impak langsung kepada ekonomi negara.

Menurutnya, konflik dunia ketika ini bukan sekadar peperangan ketenteraan, sebaliknya turut melibatkan perang ekonomi yang berupaya menjejaskan kehidupan masyarakat.

“Hari ini semua orang bercakap tentang peperangan dan mula merasai bahangnya. Namun kita perlu sedar, ia bukan sekadar peperangan fizikal, tetapi peperangan ekonomi yang akan memberi kesan kepada kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Strategik Kesiapsiagaan Menilai Impak Konflik Iran-Amerika Syarikat di Dewan Kompleks LZNK, di sini.

Tambah beliau, ketidaktentuan ekonomi global boleh menyebabkan penurunan pendapatan dan aktiviti ekonomi, sekali gus memberi kesan kepada kutipan zakat serta cabaran dalam memastikan keberkesanan agihan kepada golongan asnaf.

Sehubungan itu, katanya, setiap organisasi perlu lebih bersedia merancang langkah ke hadapan, termasuk membuat jangkaan terhadap situasi ekonomi dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Kita perlu mula berfikir apa yang akan berlaku dalam tempoh enam bulan akan datang. Andai situasi menjadi lebih buruk, adakah kita benar-benar bersedia?” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan pendekatan pengurusan zakat yang lebih adaptif dan fleksibel bagi memastikan ekosistem zakat terus berdaya tahan, serta mampu mengekalkan manfaat sosial dan ekonomi walaupun berdepan tekanan ekonomi.

“Masyarakat kini berdepan tekanan ekonomi yang semakin mencengkam. Jika keadaan meruncing, kita perlu menyemak semula bajet sebagai persiapan menghadapi tempoh mendatang,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, LZNK kini giat mengenal pasti potensi kesan krisis terhadap kutipan zakat, selain meneliti keutamaan agihan kepada golongan asnaf paling terjejas serta meningkatkan keberkesanan dan skala bantuan.

Tambah Zakaria, langkah lain termasuk melibatkan pengukuhan peranan strategik bersama pemegang taruh bagi memastikan kebajikan golongan asnaf terus terpelihara.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan LZNK dalam memastikan ekosistem zakat kekal mampan, dengan kutipan dan agihan yang efektif demi menjamin kebajikan golongan asnaf walaupun berdepan cabaran ekonomi global,” katanya.


Tiada ulasan