Header Ads

test

‘PORT HEALING’ WARGA ASING DISERBU, HASRAT BERSANTAI HUJUNG MINGGU TIDAK KESAMPAIAN

Roslinda Hashim 

SUNGAI PETANI - Hasrat sekumpulan warga asing untuk menghabiskan cuti hujung minggu tidak kesampaian apabila 21 daripada mereka ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Ops Kutip di sebuah pusat membeli-belah di sini, pada Ahad.

Dalam operasi yang dijalankan sekitar 12.30 tengah hari itu, seramai 127 warga asing telah diperiksa, namun 21 daripadanya ditahan kerana gagal mengemukakan pas atau permit yang sah, di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, sebahagian warga asing terbabit cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun usaha mereka gagal apabila kawasan operasi dikepung dan dikawal rapi oleh anggota penguat kuasa.

“Operasi ini dijalankan susulan aduan orang ramai mengenai kehadiran warga asing yang didakwa menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung, khususnya pada hujung minggu,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, JIM Kedah menegaskan, tidak semua warga asing adalah pendatang asing tanpa izin (PATI), sebaliknya hasil pemeriksaan mendapati hanya 21 daripada 127 individu melanggar peruntukan undang-undang.

“Kita akan terus mempergiatkan operasi dan pemeriksaan berkala di seluruh negeri ini bagi membendung kebanjiran PATI,” katanya.

Dalam pada itu, JIM Kedah meminta masyarakat setempat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Tiada ulasan