Header Ads

test

PERANAN KOMUNITI, BENTENG PERANGI DADAH SECARA BERSEPADU

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Peranan komuniti antara kunci utama membanteras gejala dadah di Kedah menerusi pendekatan bersepadu melibatkan penduduk, institusi masjid serta Rukun Tetangga sebagai benteng pencegahan di peringkat akar umbi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, inisiatif seperti Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) perlu diperkasakan lagi bagi memastikan usaha memerangi penyalahgunaan dadah lebih berkesan dan menyeluruh.
Menurut beliau, Kedah merekodkan sebanyak 21,510 kes penyalahgunaan dadah sehingga 2025, sekali gus meletakkan negeri ini antara empat tertinggi di Malaysia, dengan golongan berusia 16 hingga 39 tahun dikenal pasti kumpulan paling terjejas.
“Di daerah Kota Setar sahaja, seramai 4,729 individu terlibat dengan dadah, manakala Kubang Pasu mencatatkan 2,918 kes.
"Ini menunjukkan situasi yang semakin membimbangkan dalam komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Gegar Kampung Aspirasi Bebas Dadah di Dewan KRT, di sini, hari ini.
Tambah beliau, trend semasa turut menunjukkan peningkatan penggunaan dadah sintetik jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) yang memberi kesan serius terhadap sistem saraf dan otak yang berpotensi mencetuskan tingkah laku agresif serta jenayah.
Mansor turut mendedahkan lebih 90 peratus penagih terdiri daripada kaum Melayu, sekali gus menuntut tindakan segera dan komprehensif daripada semua pihak.
Sehubungan itu, beliau menekankan peranan ibu bapa agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak serta mendapatkan bantuan awal sekiranya terdapat tanda-tanda penglibatan dengan dadah.
“Golongan muda perlu menjauhi dadah kerana mereka merupakan aset penting negeri dan tunjang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.
“Dengan usaha berterusan serta kerjasama semua pihak, kita yakin rantaian penagihan dapat diputuskan, sekali gus merealisasikan sasaran sifar kes baharu di peringkat komuniti,” katanya.

Tiada ulasan