SUNGAI DERGA FLOATING MARKET RANCAKKAN EKONOMI, TARIKAN BAHARU PELANCONGAN KEDAH
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Inisiatif memperkasakan usahawan tempatan dan merancakkan sektor pelancongan negeri terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Santai Di Sungai Derga (SDSD) Floating Market 4.0 dan Eksplorasi Usahawan Negeri Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, program seumpama ini menjadi platform penting kepada usahawan kecil dan mikro untuk mempromosikan produk, memperkenalkan jenama serta berinteraksi secara langsung dengan pelanggan.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan, malah membuka ruang untuk mereka berkembang lebih jauh dalam bidang perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Kedah merasmikan Program Santai Di Sungai Derga (SDSD) Floating Market 4.0 dan Eksplorasi Usahawan Negeri Kedah, di Santai D’ Sungai Derga, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Salleh, penganjuran SDSD Floating Market berpotensi menjadi produk pelancongan baharu negeri dengan menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke Kedah.
Tambah beliau, Program Eksplorasi Usahawan di bawah Unit Pembangunan Usahawan negeri merupakan inisiatif berterusan yang dilaksanakan di setiap daerah, dengan edisi kali ini merupakan penganjuran kelima dan memilih Sungai Derga sebagai lokasi.
“Penganjuran program ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan skala lebih besar bagi memberi impak lebih signifikan kepada pembangunan ekonomi, komuniti serta industri pelancongan negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar terus menyokong usahawan tempatan dengan membeli produk mereka selain membantu mempromosikan destinasi pelancongan Kedah kepada rakan dan keluarga.

Post a Comment