SADA SELESAIKAN ISU BEKALAN AIR SECARA TANGKAS MELALUI KEMUDAHAN TALIAN i-SADA
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Syarikat Air Darul Aman (SADA) bertindak tangkas dalam menyelesaikan isu gangguan bekalan air bagi memastikan keperluan rakyat terus terjamin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood berkata, berdasarkan pangkalan maklumat SADA, hanya 1,627 akaun membuat permohonan melalui i-SADA susulan gangguan bekalan air.
“Saya dapat maklumat daripada SADA bermula 18 Mac sehingga 24 Mac dalam tempoh tujuh hari, hanya 1,627 akaun sahaja yang membuat permohonan, sedangkan keseluruhan akaun di negeri Kedah adalah sebanyak 640,000 akaun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul titah menjunjung kasih Sultan Kedah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
“Ini bermakna hanya 0.25 peratus sahaja yang membuat permohonan dan alhamdulillah, boleh dikatakan hampir semuanya telah diselesaikan di peringkat kawasan saya di Pokok Sena,” katanya.
Menurutnya, kira-kira 113 unit lori air beroperasi di seluruh Kedah bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan secara menyeluruh kepada rakyat.
“Saya turut merakamkan penghargaan terhadap usaha ini kerana berdasarkan maklumat SADA, LRA Pelubang dijangka mula beroperasi pada 7 Julai 2026, melibatkan 185,000 akaun dengan peningkatan kapasiti daripada 227 MLD kepada 494 MLD,” katanya.
Tambah beliau, SADA turut melaksanakan penukaran paip, pemasangan PRV serta paip jenis HDPE bagi menangani isu bekalan air di beberapa kawasan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan masih terdapat sebahagian masyarakat yang kurang mendapat pendedahan mengenai permohonan melalui i-SADA, sekali gus menyebabkan maklumat berkaitan permasalahan setempat tidak dapat disalurkan dengan berkesan.
“Saya berharap wakil rakyat dapat menyalurkan maklumat berkaitan kawasan masing-masing agar maklumat serta bekalan air dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada penduduk,” katanya.

Post a Comment