INDUSTRI PADI PERLU DIMODENKAN, BUKAN DITINGGALKAN - MUHAMAD AMRI
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Industri padi kini berdepan pelbagai cabaran dalam usaha mengekalkan peranan sebagai tunjang kehidupan rakyat, sekali gus berdepan penyusutan keluasan tanah sawah akibat arus pembangunan yang pesat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Muhamad Amri Wahab berkata, peningkatan kos pertanian termasuk input seperti baja dan racun semakin membebankan pesawah, selain infrastruktur pengairan yang masih belum memuaskan di sesetengah kawasan.
“Jika keadaan ini berterusan, kita akan hadapi masalah kurang keupayaan untuk menghasilkan beras sendiri dan menyebabkan negara terdedah kepada gangguan rantaian bekalan luar,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan perlu dilaksanakan secara seimbang dan strategik seiring dengan arus kemajuan dunia.
“Sebagai contoh, penukaran tanah sawah kepada perindustrian mungkin memberi pulangan segera, tetapi dalam jangka masa panjang, kita akan kehilangan sumber makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul titah menjunjung kasih Sultan Kedah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
“Kita sedang hidup dalam era perubahan dengan begitu pantas, kemajuan teknologi seperti kemudahan Kecerdasan Buatan (AI), bioteknologi, dan ekonomi digital berkembang ke arah yang lebih moden. Walau secanggih manapun teknologi yang kita miliki, akhirnya kita tetap kembali kepada nasi di meja makan,” katanya.
Muhamad Amri berkata, Kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam memodenkan industri padi menerusi penggunaan teknologi serta memastikan setiap dasar yang dilaksanakan mengambil kira keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan keterjaminan makanan.
“Beras bukan sekadar komoditi, tetapi merupakan makanan ruji yang menjadi asas kelangsungan hidup rakyat sejak sekian lama. Dalam kita melangkah ke hadapan, kita tidak boleh melupakan akar asas kehidupan rakyat iaitu sektor padi dan beras,” katanya.

Post a Comment