ANAK KEDAH, CHEF NABIL HARUMKAN NAMA NEGARA DI PENTAS DUNIA
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Anak kelahiran Kedah, Chef Nabil Salleh mengharumkan nama Malaysia apabila meraih dua pingat gangsa dan satu pingat perak dalam pertandingan berprestij ‘Gold Shah World Chef Competition 2026’ sempena The Azerbaijan International Food Industry Exhibition (InterFood Azerbaijan) di Baku, Azerbaijan, baru-baru ini.
Chef berusia 40 tahun itu berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik bagi setiap kategori yang disertainya, sekali gus berentap dengan 13 peserta antaranya dari Turkiye, Russia, Croatia, Serbia, Azerbaijan, Armenia, Georgia dan Uzbekistan.
Menurut Chef Nabil, penyertaan tersebut merupakan pengalaman antarabangsa pertamanya di luar negara dan membuka peluang untuk beliau menimba pengalaman bersama chef dari seluruh dunia.
“Ini merupakan penyertaan antarabangsa pertama saya di luar Malaysia.
“Paling menarik apabila saya dapat bertanding bersama chef-chef hebat dari pelbagai negara yang datang dengan satu matlamat, iaitu menjadi yang terbaik antara yang terbaik,” katanya.
Sepanjang pertandingan itu, beliau mempertaruhkan beberapa hidangan istimewa termasuk ‘Lamb Saddle with Confit Garlic Mashed and Star Anise Sauce’, ‘Smoked Honey Glazed Duck with Herb Saffron Risotto and Cumin Sauce’ serta menu istimewa yang menjadi kepakarannya, ‘Confit Sturgeon Fish with Tomato Rice, Sago Asparagus and Saffron Sauce’.
Menurutnya, hidangan berasaskan ikan sturgeon yang digabungkan dengan elemen tempatan berjaya mencuri perhatian juri antarabangsa.
Katanya, ikan sturgeon terkenal di seluruh dunia kerana telur ikannya dijadikan caviar yang digelar sebagai ‘emas hitam’ dalam industri makanan antarabangsa.
“Saya bawa sagu dari Malaysia, kemudian disalut dengan tepung dan telur sebelum digoreng sehingga garing.
“Juri memaklumkan ini kali pertama mereka melihat asparagus dihidangkan dengan cara sebegitu dan ia menjadi antara tarikan utama persembahan saya,” katanya.
Tambah Chef Nabil, kemenangan tersebut bukan sekadar memburu pingat semata-mata, sebaliknya membawa identiti dan cita rasa Malaysia ke pentas dunia.
Kejayaan beliau itu turut mendapat perhatian Kedutaan Malaysia di Baku, Azerbaijan yang berkongsi pencapaian pasukan negara sebagai tanda penghargaan terhadap usaha anak tempatan di persada antarabangsa.
Mengulas lanjut, Chef Nabil memaklumkan, sebelum ini hanya aktif menyertai pertandingan kulinari dalam negara ketika berkhidmat di hotel kerana peluang mewakili Malaysia ke luar negara agak terhad.
Bagaimanapun, beliau kemudian meninggalkan dunia perhotelan untuk meneruskan kerjaya sebagai selebriti chef dan pernah mengendalikan dua program masakan di TV Alhijrah, iaitu Menu Alam 8 Musim dan Camca 3 Musim.
“Tahun ini kali pertama saya mewakili Malaysia di luar negara. Saya kembali aktif sejak tahun lepas menyertai pertandingan chef di Kuala Lumpur dan berjaya memenangi pingat gangsa bagi kategori Chef of Nation,” katanya.

Post a Comment