Header Ads

test

BDB PEROLEH KONTRAK SELENGGARA JALAN NEGERI BERNILAI RM251.65 JUTA

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, BDB Infra Sdn Bhd (BDB Infra), memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM251.65 juta daripada Kerajaan Negeri Kedah.
Kontrak selama lima tahun itu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Zon 1 yang merangkumi daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata, penganugerahan kontrak bagi tempoh 60 bulan itu mencerminkan keyakinan berterusan Kerajaan Negeri terhadap keupayaan serta kredibiliti BDB Infra dalam melaksanakan projek penyelenggaraan infrastruktur secara cekap dan berkualiti.
Menurutnya, penganugerahan kontrak itu juga menjadi pengiktirafan penting terhadap pengalaman serta rekod prestasi Kumpulan BDB dan BDB Infra dalam sektor penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya.
“BDB komited memastikan projek ini dilaksanakan mengikut spesifikasi dan standard yang ditetapkan demi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya di negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis penyerahan dokumen Surat Setuju Terima bagi kontrak berkenaan diadakan di Pejabat Kewangan Negeri, Wisma Darul Aman, baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa dan turut dihadiri Ketua BDB Infra Sdn. Bhd., Zakba Shafie.
Che Abdul Khalid berkata, kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan prestasi kewangan Kumpulan BDB bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2031.
“Ia sekali gus memperkukuh keyakinan pemegang taruh dan pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat,” katanya.
Menurut beliau, projek tersebut turut dijangka merangsang pembangunan infrastruktur negeri selain memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui peluang pekerjaan dan penglibatan rantaian bekalan tempatan.
“BDB Infra merupakan kontraktor Gred G7 yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dan rekod cemerlang dalam kerja penyelenggaraan serta pembinaan jalan raya selain operasi kuari di utara tanah air,” ujarnya.
Untuk rekod, bagi tempoh 10 tahun sejak 2015, BDB Infra menerima kontrak penyelenggaraan jalan daripada Kerajaan Negeri Kedah secara berterusan melibatkan beberapa daerah di negeri ini.

Tiada ulasan