Header Ads

test

KAUM IBU BERDEPAN CABARAN LEBIH KOMPLEKS DALAM ERA DIGITAL



Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR – Kos sara hidup yang semakin meningkat, tekanan mengimbangi kerjaya dan keluarga serta cabaran emosi dikenal pasti antara isu utama yang membelenggu kaum ibu di Kedah pada ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan, Dato' Halimaton Shaadiah Saad berkata, hasil tinjauan sempena Sambutan Hari Ibu tahun lalu mendapati ramai ibu turut berdepan masalah kewangan selain kekangan masa untuk diri sendiri.

Menurut beliau, cabaran dihadapi golongan ibu pada era digital kini semakin kompleks, terutama dalam usaha menyeimbangkan tuntutan kerjaya, keluarga dan kehidupan harian.

“Selain itu, ramai ibu turut berdepan tekanan emosi dan kekangan masa untuk diri sendiri,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Ibu 2026 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa agar memainkan peranan lebih aktif dalam membimbing anak-anak mengurus penggunaan teknologi dan gajet secara berhemah demi memastikan pembangunan generasi masa depan yang seimbang.

"Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh institusi kekeluargaan dan memperkasakan golongan ibu sebagai tunjang utama pembangunan masyarakat," katanya.

Beliau turut menegaskan pengorbanan dan ketabahan golongan ibu perlu terus dihargai kerana mereka memainkan peranan besar dalam membentuk keluarga harmoni serta melahirkan generasi berkualiti.

Menurutnya, Sambutan Hari Ibu 2026 Peringkat Negeri Kedah yang membawa tema ‘Seteguh Kasih Ibu’ mencerminkan kekuatan dan kecekalan para ibu dalam mendepani cabaran kehidupan serta perubahan sosial ekonomi masa kini.

“Kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu tidak ternilai harganya. Mereka bukan sahaja mendidik dan membesarkan anak-anak, malah menjadi tonggak kekuatan keluarga dan masyarakat,” katanya.
 

Tiada ulasan