BDB TEROKA PELUANG NIAGA BAHARU, KUKUHKAN PRESTASI JANGKA PANJANG
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Bina Darulaman Berhad (BDB) menyasarkan strategi lebih agresif dalam meneroka peluang perniagaan baharu merangkumi projek sektor awam dan swasta, selain memperkukuh kerjasama strategik termasuk bersama Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata, BDB kini bukan sahaja berperanan sebagai pemaju perumahan, malah mengembangkan penglibatan dalam penyediaan infrastruktur kawasan sektor perindustrian dan perkilangan sekali gus memperkukuh portfolio dalam segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C).
Menurut beliau, BDB akan memberi penekanan kepada pengukuhan empat segmen perniagaan teras yang menjadi tunjang utama, iaitu pembinaan jalan dan kuari, hartanah, E&C serta segmen leisure, sebagai asas kepada pemulihan dan pertumbuhan mampan syarikat.
“BDB akan lebih agresif mendapatkan projek berkualiti serta memastikan setiap projek dilaksanakan dengan kawalan kos dan disiplin operasi yang tinggi.
“Kami komited memperkukuh hubungan dengan pemegang taruh bagi membina keyakinan berterusan terhadap hala tuju BDB,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-31 baru-baru ini.
Che Abdul Khalid berkata, 2026 menjadi tempoh penting bagi BDB yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah memperkukuh kedudukan kewangan syarikat, mengoptimumkan operasi serta memacu pertumbuhan jangka panjang melalui pengukuhan empat segmen perniagaan teras.
“Tahun ini adalah untuk BDB membuktikan keupayaan sebenar dengan memberi fokus kepada pemulihan, memperkemas operasi dan membina semula keyakinan pemegang taruh terhadap BDB.
“BDB turut memberi tumpuan kepada kekuatan perniagaan teras, memperkasa pengurusan kos secara lebih disiplin serta melaksanakan strategi lebih berimpak tinggi dalam setiap peluang perniagaan yang diterokai bagi memastikan mendapat pulangan lebih baik.
“Matlamat utama bukan sahaja untuk mengembalikan BDB kepada landasan keuntungan tetapi memastikan syarikat mempunyai asas perniagaan lebih kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Beliau memaklumkan, bagi segmen pembangunan hartanah, fokus akan terus diberikan kepada pembangunan sedia ada seperti Darulaman Saujana, Hosba, Aman Nusa, Langkawi dan Bandar Darulaman, Jitra, selain pembangunan baharu Darulaman Commercial District yang dijangka menjadi pemacu pendapatan jangka panjang.
“BDB turut merancang mengoptimumkan aset strategik termasuk Darulaman Sanctuary, The LAB di Langkawi serta Fantasia Aquapark, di samping memperkasa tarikan di Darulaman Park yang dijangka menyumbang prestasi positif kepada segmen leisure pada tahun ini,” katanya.
Mengulas prestasi kewangan, BDB mencatatkan kerugian bersih RM16.80 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), yang dipengaruhi beberapa faktor antaranya kelewatan pelancaran projek hartanah serta tekanan margin projek infrastruktur yang hampir siap.
Namun begitu, Che Abdul Khalid menegaskan kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil kepada RM330.71 juta berbanding RM294.74 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
“BDB kini memberi tumpuan kepada pengurusan kos yang lebih berdisiplin serta pelaksanaan strategi berimpak tinggi bagi memastikan pulangan yang lebih baik dan mengukuhkan asas perniagaan untuk jangka panjang,” katanya.

Post a Comment