BANTUAN BSPT: KERAJAAN NEGERI MOHON MASYARAKAT SALUR MAKLUMAT
Ku Azizah Ku Hamid
KUBANG PASU - Usaha membantu golongan pesakit terlantar hanya akan lebih berkesan sekiranya masyarakat turut sama memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat serta Perpaduan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata, orang ramai boleh memaklumkan kes-kes yang memerlukan perhatian kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Baitulmal atau pejabat wakil rakyat setempat.
“Tanpa maklumat daripada masyarakat, amat sukar untuk pihak kami mengesan dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya selepas menyantuni enam penerima Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar (BSPT) di daerah Kubang Pasu, hari ini.
Halimaton Shaadiah memaklumkan, enam pesakit terlantar di daerah Kubang Pasu melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Ayer Hitam dan Jitra mendapat perhatian Kerajaan Negeri menerusi BSPT, yang merupakan inisiatif kebajikan bagi meringankan beban golongan memerlukan.
Penerima bantuan dari DUN Kota Siputeh ialah Muhammad Syameer Akhmar Rosli, 31, yang terlantar akibat kemalangan jalan raya, serta Eshah Omar, 70, pesakit kanser payudara.
Bagi DUN Ayer Hitam pula melibatkan Halimah @ Bedah Jusoh, 46, yang mengalami strok, serta Adibah Saad, 34, pesakit buah pinggang tahap akhir.
Sementara di DUN Jitra, bantuan disalurkan kepada Megat Zainol Megat Saad, 59, yang menghidap strok sebelah kiri serta darah tinggi, dan Adnan Hat, 71, mengalami komplikasi pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, buah pinggang tahap lima serta paru-paru berair.
Program tersebut turut dihadiri ADUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim; ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir; serta wakil agensi seperti JKM, LZNK, PERKESO dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).
Halimaton berkata, setiap kunjungan ke rumah pesakit memberi gambaran jelas tentang kesukaran yang dihadapi keluarga pesakit, sekali gus menguatkan lagi komitmen Kerajaan Negeri dalam memperluaskan bantuan kebajikan.
“Sepanjang lawatan, pelbagai kisah menyentuh hati dapat dilihat dan didengar. Ada yang terlantar akibat kanser, strok, dan kegagalan buah pinggang yang memerlukan sokongan berterusan.
“Hari ini kami turut menziarahi rumah Abang Nan, salah seorang klien JKM yang berada di DUN Jitra. Alhamdulillah, jelas terpancar kegembiraan ketika menerima kunjungan kami semua,” katanya lagi.

Post a Comment