PUSAT DATA TAWAR PELUANG KERJA TERHAD BERBANDING BANGUNKAN INDUSTRI - SANUSI
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Keputusan syarikat Maxland Bhd membatalkan dua cadangan pajakan tanah di Kedah bagi projek pusat data dan sistem penyejukan daerah tidak seharusnya dilihat sebagai kegagalan Kerajaan Negeri mengekalkan pelabur, sebaliknya dilihat secara positif kerana ia membuka ruang kepada sektor industri lain yang mampu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri berpandangan pembangunan pusat data memerlukan penggunaan air yang tinggi serta kawasan tanah yang luas, namun peluang pekerjaan diwujudkan adalah terhad.
“Syarikat itu batalkan cadangan projek terbabit selepas menyemak semula strategi perniagaan mereka dan mendapati tanah itu tidak lagi sesuai dengan pelan pelaburannya.
“Namun sebaliknya Kedah melihat dari sudut positif yang akan diperoleh akibat pembatalan itu, iaitu jumlah peluang kerja yang ditawarkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Maxland Bhd membatalkan cadangan pajakan tanah di Kedah selepas menyemak semula strategi perniagaan syarikat itu.
Namun isu berkenaan dipolitikkan segelintir pihak dengan cuba mengaitkan ia dengan kegagalan Kerajaan Negeri mengekalkan pelabur.
Menurut Sanusi, pelabur menawarkan cadangan mengambil keseluruhan lebih 400 ekar tanah di Fasa 5 Kulim Hi-Tech Park Corporation (KHTP) untuk pembangunan pusat data, namun jumlah peluang pekerjaan ditawarkan tidak cecah 1,000 orang.
“Pusat data ini ibarat gudang elektronik yang hanya menyimpan dan memproses data tanpa menghasilkan produk lain.
“Kalau tanah seluas itu diberikan kepada sektor industri pembuatan, ia boleh menjana sehingga 15,000 peluang pekerjaan,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri mahu kawasan industri di KHTP menjadi pemangkin peluang pekerjaan kepada ramai anak Kedah selain meningkatkan pendapatan rakyat, bukan sekadar pembangunan yang memberi pulangan terhad kepada ekonomi setempat.
Katanya, pusat data juga memerlukan kapasiti bekalan air yang sangat tinggi kerana menggunakan air sebagai sistem penyejukan.
“Air yang digunakan untuk sebuah pusat data boleh menampung keperluan tiga hingga empat kilang pembuatan lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri mengambil pendirian untuk memberi keutamaan kepada sektor industri lain yang lebih memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negeri.
“Setelah menimbang semua faktor itu, pandangan kita adalah lebih baik beri keutamaan kepada sektor selain pusat data,” katanya.
Menurut Sanusi, beberapa pelabur berpotensi telah menyatakan minat untuk memasuki Fasa 5 KHTP dan proses itu sedang diuruskan oleh Kulim Technology Park Corporation (KTPC).
Dalam perkembangan sama, katanya, pembangunan Fasa 5 KHTP melibatkan kawasan seluas kira-kira 500 ekar untuk tapak kilang dan infrastruktur berteknologi tinggi, dengan kos tanah sebanyak RM360 juta serta kos infrastruktur RM130 juta.
Katanya, daripada RM360 juta itu, RM190 juta merupakan pinjaman Persekutuan manakala selebihnya menggunakan sumber dana dalaman.
“Fasa ini, sebelum ini sangkut lebih setahun sebab proses Notice of Change (NOC) tidak diproses oleh Kementerian Ekonomi.
“Kerajaan Negeri pada awalnya mohon pinjaman (RM190 juta) bagi tujuan pengambilan balik tanah ladang sawit berdasarkan anggaran Jabatan Penilaian Harta sekitar RM10 sekaki persegi, namun nilai itu meningkat sehingga RM21 sekaki persegi selepas penilaian semula dibuat,” katanya.
Susulan itu, katanya, Kerajaan Negeri membatalkan proses pengambilan tanah dan memulakan rundingan pembelian tanah dengan syarikat pemilik tanah tersebut, pada kadar RM7.66 sekaki persegi bagi 500 ekar pertama daripada keseluruhan 1,200 ekar untuk pembangunan Fasa 5.
“Kita mohon NOC untuk tujuan pengambilan balik tanah, namun lebih setahun tidak diluluskan walaupun pinjaman itu mempunyai cagaran dan kadar faedah empat peratus,” katanya.
Tambah beliau, kelewatan kelulusan NOC menyebabkan Kerajaan Negeri mengalami kerugian dari segi masa serta kos kewangan, sebelum akhirnya kembali kepada rundingan pembelian dengan pemilik tanah asal bagi meneruskan pembangunan Fasa 5 KHTP.
Baru-baru ini, Maxland Bhd membatalkan dua cadangan pajakan tanah di Kedah bagi projek pusat data dan sistem penyejukan daerah selepas menyemak semula strategi perniagaan dan mendapati tanah itu tidak lagi sesuai dengan pelan pelaburannya.
Anak syarikat milik tidak langsung penuh syarikat itu, Maxland Data Sdn Bhd, pada Disember 2024 memeterai perjanjian pajakan selama 60 tahun dengan KTPC bagi tanah seluas 4.57 ekar di Zon Perindustrian Fasa 2, KHTP pada harga RM9.95 juta untuk projek pusat data.
Perjanjian kedua melibatkan anak syarikat milik penuh syarikat, Maxland Kool Sdn Bhd, menerusi perjanjian pada Februari 2025 dengan KTPC untuk memajak tanah seluas 4.85 ekar dalam zon perindustrian sama pada harga RM10.57 juta bagi projek sistem penyejukan daerah.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#MBKedah

Post a Comment