Header Ads

test

SPM 2025: GPS 2.29 MAKTAB MAHMUD ALOR SETAR TERUS CEMERLANG

 


Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Maktab Mahmud Alor Setar terus cemerlang apabila mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.29.
Pengetuanya, Mohd Shauki Bik Mohd Kasim berkata, pencapaian itu melakar sejarah tersendiri buat sekolah berkenaan apabila menunjukkan peningkatan ketara berbanding GPS 2.60 pada tahun 2024.
Menurut beliau, keputusan awal SPM 2025 merekodkan GPS 2.33, namun selepas proses semakan semula selesai, pencapaian sekolah meningkat kepada 2.29.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan buat seluruh warga sekolah.
"Peningkatan ini membuktikan komitmen tinggi guru dan pelajar dalam memastikan budaya kecemerlangan terus diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Idul Ilmi Maktab Mahmud Alor Setar yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil pelaksanaan lapan teras utama di bawah gagasan Cordoba of Kedah yang menjadi panduan utama pembangunan akademik dan sahsiah pelajar sekolah itu.
Katanya lagi, kecemerlangan itu menyaksikan seramai 22 pelajar berjaya memperoleh keputusan 11A dalam SPM 2025, termasuk seorang pelajar yang mencatat keputusan cemerlang 11A+.
"Selain itu, seramai 23 pelajar memperoleh 9A manakala 22 pelajar lagi meraih keputusan 8A.
“Pencapaian ini menunjukkan potensi besar pelajar Maktab Mahmud Alor Setar untuk terus bersaing dan mencipta kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap Kerajaan Negeri terus memberikan sokongan terhadap usaha pembangunan infrastruktur sekolah bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam mendepani revolusi pendidikan moden.
“Semua kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa iltizam warga pendidik serta sokongan berterusan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
"Semoga ia menjadi pemangkin untuk kita melakar lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Tiada ulasan