DXN LABUR RM140 JUTA BINA KILANG NUTRASEUTIKAL TERBESAR DI BUKIT KAYU HITAM
Roslinda Hashim
BUKIT KAYU HITAM - DXN Holdings Bhd. (DXN) bakal membina kilang pembuatan nutraseutikal terbesar dalam negara di Bukit Kayu Hitam dengan nilai pelaburan RM140 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kedah sebagai hab industri kesejahteraan bertaraf antarabangsa.
Pengerusi Eksekutif dan Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata, projek yang dibangunkan di Kawasan Industri Bukit Kayu Hitam Fasa 3 itu turut memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai teras rangkaian pembuatan global syarikat berkenaan serta platform pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Menurutnya, fasa pertama pembangunan melibatkan kira-kira 300,000 kaki persegi ruang binaan di atas tapak seluas 26.6 ekar yang dipajak daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
“Hab pembuatan bersepadu ini akan menempatkan tujuh blok pengeluaran, 10 kemudahan gudang serta sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus, menjadikannya kilang terbesar DXN di dunia dan antara kompleks pembuatan nutraseutikal terbesar di Malaysia.
“Pengeluaran dijadual bermula Mac 2028 melibatkan 118 unit stok simpanan (SKU) bagi kategori kopi, makanan dan minuman serta jus sebelum diperluaskan ke segmen bernilai tinggi seperti kosmetik, penjagaan diri dan farmaseutikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kilang Baharu DXN Industries (M) Sdn. Bhd. yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini.
Siow Jin berkata, keputusan melabur di Bukit Kayu Hitam didorong oleh pertumbuhan kukuh industri nutraseutikal dan kesejahteraan global serta peningkatan prestasi DXN yang mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 15.4 peratus sepanjang tiga tahun lalu.
Katanya, tahun kewangan 2025 merupakan tahun terbaik DXN apabila merekodkan hasil, keuntungan bersih dan EBITDA tertinggi dalam sejarah syarikat sehingga kapasiti pengeluaran sedia ada tidak lagi mampu menampung pertumbuhan permintaan.
“Kemudahan di Bukit Kayu Hitam bukan sekadar sebuah kilang, sebaliknya hab pembuatan, logistik dan inovasi yang direka untuk menyokong pertumbuhan DXN bagi dekad akan datang serta meningkatkan kecekapan operasi di pasaran global,” katanya.
Tambah beliau, pasaran kesihatan dan kesejahteraan global terus berkembang pesat dengan segmen makanan berfungsi dan sedia dimakan dijangka mencecah nilai RM1.6 trilion menjelang 2034.
“Perbelanjaan kesejahteraan per kapita di Asia masih jauh lebih rendah sekitar RM1,860 setahun berbanding RM23,815 di Amerika Utara dan Eropah RM7,410, sekali gus membuka ruang pertumbuhan besar untuk tempoh panjang.
“DXN kini menjana hasil tahunan RM1.9 bilion daripada pasaran global yang bernilai ratusan bilion ringgit. Projek di Bukit Kayu Hitam memastikan kapasiti pengeluaran tidak menjadi penghalang untuk kami merebut peluang tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek berkenaan dijangka mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan berkualiti tinggi dalam bidang pembuatan, kawalan kualiti dan pengurusan operasi dengan keutamaan diberikan kepada penduduk sekitar Bukit Kayu Hitam.
“Kedah bukan sekadar lokasi operasi bagi DXN. Di sinilah perjalanan kami bermula pada tahun 1993 dan ladang Ganoderma pertama kami dibangunkan.
“Kami kembali melabur di sini bukan kerana tiada pilihan lain, tetapi kerana kami percaya Kedah menawarkan persekitaran yang aman, stabil dan kondusif untuk pertumbuhan perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, kilang baharu itu merupakan projek utama dalam Strategi Pembuatan Global DXN yang menyasarkan 21 kilang di empat benua menjelang 2028.
Katanya, kemudahan tersebut akan melengkapkan ekosistem pembuatan syarikat bersama kompleks sedia ada di Jitra dan kemudahan di Gua Musang, Kelantan bagi membekalkan sebahagian besar portfolio produk DXN kepada kira-kira 22 juta pengguna berdaftar di lebih 180 negara.

Post a Comment