Header Ads

test

KORIDOR SEMPADAN BUKIT KAYU HITAM DIJANGKA SUMBANG RM72.7 BILION KEPADA EKONOMI NEGARA


Roslinda Hashim
BUKIT KAYU HITAM - Pembangunan Koridor Sempadan Bukit Kayu Hitam yang sedang dipacu Kerajaan Negeri Kedah dijangka mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan baharu serta menyumbang kira-kira RM72.7 bilion kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembangunan itu merupakan antara agenda utama di bawah gagasan The Greater Kedah dan Pelan Pembangunan Kedah 2035 bagi menjadikan kawasan sempadan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negeri selepas kejayaan Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
Menurut beliau, Bukit Kayu Hitam mempunyai kedudukan strategik sebagai pintu masuk utama perdagangan Malaysia dan Thailand selain menjadi laluan penting dalam rangkaian logistik serta perdagangan ASEAN.
“Pembangunan Koridor Sempadan Bukit Kayu Hitam merangkumi projek utama seperti Kedah Science & Technology Park (KSTP) dan Kota Perdana Special Border Economic Zone (SBEZ) yang bakal mengubah landskap ekonomi kawasan sempadan serta memperkukuhkan kedudukan Bukit Kayu Hitam sebagai gerbang perdagangan utama Malaysia dan Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kilang Baharu DXN Industries (M) Sdn. Bhd. di Kawasan Industri Bukit Kayu Hitam Fasa 3, hari ini.
Sanusi berkata, melalui pembangunan SBEZ melibatkan kawasan seluas kira-kira 11,000 ekar, Bukit Kayu Hitam dirancang sebagai hab industri, logistik, teknologi dan perdagangan rentas sempadan bertaraf antarabangsa.
Tambah beliau, kawasan itu memiliki kelebihan kerana dihubungkan secara langsung dengan Lebuhraya Utara-Selatan, rangkaian Asian Highway, sistem jalan raya Thailand serta kemudahan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang moden.
“Nilai perdagangan rentas sempadan yang melalui pintu masuk ini mencecah puluhan bilion ringgit setiap tahun sekali gus memberikan kelebihan kompetitif yang besar kepada syarikat-syarikat yang memilih untuk beroperasi di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi menyifatkan keputusan DXN memilih Bukit Kayu Hitam sebagai lokasi pelaburan baharu sebagai langkah tepat dan berpandangan jauh selari dengan agenda pembangunan ekonomi sempadan negeri.
Katanya, projek kilang baharu itu melibatkan pajakan tanah melebihi 26 ekar dengan nilai pelaburan keseluruhan RM140 juta serta dijangka mewujudkan 300 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Pelaburan berskala besar DXN Holdings ini bakal memberi suntikan baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam yang sedang muncul sebagai pusat pertumbuhan strategik baharu di utara tanah air,” katanya.
Sanusi memaklumkan, fasa pembinaan kilang itu dijangka siap pada suku keempat 2027 manakala operasi pengeluaran penuh dijadual bermula pada suku kedua 2028.
“Majlis pecah tanah ini bukan sekadar simbol pembinaan sebuah kilang baharu, tetapi manifestasi keyakinan pelabur terhadap Kedah sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan berdaya saing di peringkat serantau.
“Pelaburan tersebut membuktikan Kedah terus mendapat kepercayaan pelabur domestik dan antarabangsa hasil kestabilan pentadbiran, kemudahan infrastruktur yang kompetitif serta komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran pelaburan kondusif,” katanya.
Tambah beliau, DXN telah menunjukkan keyakinan berterusan terhadap Kedah selama lebih tiga dekad.
“Saya bangga syarikat yang lahir dari bumi Kedah ini kini berkembang menjadi jenama bertaraf global dan menembusi pasaran antarabangsa.
“Pelaburan DXN ini kelak akan membangunkan Bukit Kayu Hitam sebagai hab ekonomi sempadan yang moden, berdaya saing dan menjadi pintu masuk utama Malaysia ke pasaran Indochina dan ASEAN pada masa hadapan.
“Semoga DXN berjaya mengukuhkan kedudukan di pasaran dunia dan terus membawa nama Kedah ke persada antarabangsa,” katanya.

Tiada ulasan