Header Ads

test

KAPASITI LRA LUBUK BUNTAR LAMA MENINGKAT, PENGGUNA NIKMATI BEKALAN AIR LEBIH STABIL

 

Nur Akasyah Sabri
BANDAR BAHARU – Projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama berjaya meningkatkan kapasiti pengeluaran loji itu kepada 59 juta liter sehari (MLD), sekali gus memberi manfaat kepada lebih 12,000 akaun pengguna di daerah Bandar Baharu dan sebahagian kawasan di Kulim.
Menurut kenyataan dikeluarkan Syarikat Air Darul Aman (SADA), peningkatan kapasiti tersebut dijangka dapat mengatasi masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan yang sering dihadapi penduduk terutama ketika waktu puncak serta musim perayaan.
Antara kawasan yang menikmati manfaat projek berkenaan ialah Relau, Kampung Ara Condong, Kampung Sungai Kechil Hilir, Kampung 300 Kaki, Kampung Kilang Batu, Kampung Ulu, Kampung Paya Semambu, Kampung Tengah, Kampung Padang dan Pekan Serdang.
SADA memaklumkan, pelaksanaan projek itu bukan sahaja meningkatkan kestabilan bekalan air, malah mampu memberikan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna melalui sistem agihan lebih cekap dan berdaya tahan.
Perkembangan tersebut dimaklumkan ketika lawatan tapak projek oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Radzuan Osman baru-baru ini.
Menurut SADA, projek menaik taraf itu turut memperkukuhkan keupayaan sistem bekalan air negeri bagi menampung pertambahan permintaan pengguna pada masa hadapan, selain menyokong agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Kedah secara berterusan.
“Kerjasama dan komitmen semua pihak terlibat memainkan peranan penting dalam merealisasikan projek ini demi manfaat pengguna serta menyokong pembangunan negeri Kedah,” katanya.
Menerusi kenyataan itu, SADA merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak perunding, kontraktor dan semua pihak terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan projek menaik taraf LRA Lubuk Buntar Lama.


Tiada ulasan