Header Ads

test

KEDAH NEKAD PERTAHAN LARANGAN JUDI, BAWA KES KE MAHKAMAH PERSEKUTUAN

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah tidak berputus asa dan akan terus mempertahankan keputusan menutup dan tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri di negeri ini, dengan membawa kes berkenaan ke peringkat tertinggi, iaitu Mahkamah Persekutuan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri telah menguruskan proses bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada Kedah.
Menurut beliau, pihaknya telah menjangkakan keputusan tersebut, namun alasan penghakiman penuh hanya dikeluarkan baru-baru ini.
“Kita tidak putus asa dan akan bawa kes ini ke peringkat tertinggi. Kita sudah uruskan untuk ke Mahkamah Persekutuan.
“Keputusan itu sebenarnya kita sudah tahu lebih awal, cuma alasan penghakiman baharu sahaja dikeluarkan,” katanya.
Pada 2 Jun, Mahkamah Rayuan memutuskan kerajaan Kedah tidak boleh mengenakan larangan menyeluruh terhadap perniagaan pertaruhan wang terkumpul dan loteri semata-mata atas alasan menentang perjudian.
Dalam keputusan majoriti, Hakim Datuk Faizah Jamaludin memutuskan kuasa Kerajaan Negeri terhad kepada perkara yang diperuntukkan bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri hanya boleh mengawal selia pelesenan berdasarkan faktor berkaitan premis seperti keadaan bangunan, pematuhan keselamatan, sanitasi, gangguan awam dan kesesuaian lokasi.
Menurutnya, majlis perbandaran boleh menolak atau tidak memperbaharui lesen perniagaan sekiranya premis terbabit gagal memenuhi syarat keselamatan, mempunyai masalah sanitasi atau menimbulkan gangguan kepada masyarakat.
“Namun, keengganan mengeluarkan dan memperbaharui lesen tersebut jelas mencerminkan bantahan dasar terhadap pertaruhan dan loteri, bukannya kebimbangan terhadap bangunan atau premis diduduki,” katanya dalam alasan penghakiman mahkamah yang dikeluarkan minggu lalu.
Faizah turut mengambil maklum sebahagian pengusaha telah menduduki premis sama selama 38 tahun.
Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Kedah yang memohon untuk mengekalkan semula keputusannya tidak memperbaharui lesen premis perniagaan bagi pengusaha pertaruhan wang terkumpul dan loteri.
Faizah bersama Datuk Lim Hock Leng mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan Kerajaan Negeri, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, membuat keputusan berbeza, dengan menyatakan keputusan Exco Kedah sah di sisi undang-undang dan tertakluk bidang kuasa bawah Akta Kerajaan Tempatan.
Azizah berkata, keputusan tersebut merupakan pilihan dasar Kerajaan Negeri yang sah dan tidak sepatutnya dicampuri oleh mahkamah.
“Keputusan itu mencerminkan keutamaan yang diberikan kepada kepentingan bersama rakyat Kedah terhadap kesan perjudian berbanding kepentingan mana-mana individu atau entiti tertentu,” katanya.
Sementara, Faizah menegaskan bahawa lesen yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan tertakluk kepada syarat ketat di peringkat Persekutuan, termasuk keperluan seperti mencetak nota pada tiket bahawa perjudian dilarang bagi orang Islam.
“Justeru, rejim Persekutuan meneruskan langkah atas dasar pertaruhan wang terkumpul walaupun sah di sisi undang-undang, adalah dikawal,” katanya.
Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar permohonan kerajaan Kedah untuk kebenaran merayu pada 12 Ogos depan.

KRONOLOGI KES
14 November 2021
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan Kerajaan Negeri tidak lagi memperbaharui serta tidak mengeluarkan lesen premis judi di seluruh negeri itu, pada sidang media sempena persidangan DUN Kedah.
Mana-mana lesen premis judi telah tamat tempoh, tidak lagi diperbaharui dan Kerajaan Negeri mengambil ketetapan membenarkan operasi premis perjudian yang masih mempunyai tempoh sehingga berakhir 31 Disember 2022.
21 November 2021
Keputusan Kerajaan Negeri untuk tidak mengeluar serta memperbaharui lesen premis judi mendapat tentangan daripada pengusaha premis, melalui penama Liew Han Eng dan tiga lagi penama mencabar keputusan tersebut melalui tindakan mahkamah.
1 Januari 2023
Keputusan itu dikuatkuasakan menyebabkan semua premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah.
4 Januari 2023
Sanusi tegaskan, walaupun Kerajaan Negeri kehilangan kira-kira RM400,000 setahun hasil dari cukai lesen premis judi, beliau tetap meneruskan keputusan itu jika hasil mencecah RM400 juta sekali pun.
20 Jun 2024
Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023 sebagai ‘tidak sah’ dan ‘tidak munasabah’. Ia susulan enam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh ejen dan syarikat pertaruhan serta pegawai kanan syarikat terlibat bagi mencabar keputusan tersebut.
24 Jun 2024
Menteri Besar Kedah telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan.
4 Julai 2024
Kerajaan Negeri memfailkan notis permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah berkaitan aktiviti berkenaan. Sehingga itu, dasar larangan kegiatan perjudian masih berkuat kuasa di negeri itu sehingga keputusan baharu diputuskan.
12 Disember 2025
Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah melalui keputusan majoriti 2-1, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa arahan Kerajaan Negeri untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Dalam keputusan itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Faizah Jamaludin menolak rayuan difailkan Kerajaan Negeri Kedah dan Menteri Besarnya, atas alasan tiada merit.
Manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi mengemukakan pendirian berbeza.
21 Disember 2025
Sanusi tegaskan pihaknya akan mempertahankan keputusan tidak memperbaharui lesen premis perjudian dengan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan. Beliau turut kesal apabila hak Kerajaan Negeri bawah peruntukan Seksyen 9, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dinafikan.
2 Jun 2026
Alasan penghakiman penuh Mahkamah Rayuan dikeluarkan. Mahkamah Rayuan memutuskan kerajaan Kedah tidak boleh mengenakan larangan menyeluruh terhadap perniagaan pertaruhan wang terkumpul dan loteri semata-mata atas alasan menentang perjudian.
12 Ogos 2026
Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar permohonan Kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Jika kebenaran diberikan, Mahkamah Persekutuan akan menentukan secara muktamad sama ada Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menolak pembaharuan lesen premis perjudian atas dasar polisi awam negeri.

Tiada ulasan