KERAJAAN NEGERI TELITI KEPERLUAN KRITIKAL BAGI MEMPERKASA SOKONGAN PESAKIT KANSER
Ku Azizah Ku Hamid
SUNGAI PETANI - Kerajaan Negeri Kedah akan meneliti beberapa keperluan kritikal bagi memperkukuhkan perkhidmatan sokongan pesakit kanser, termasuk cadangan penyediaan peralatan perubatan dan bantuan kebajikan kepada golongan terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat Perpaduan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata, antara keperluan yang dibangkitkan ialah penyediaan mesin ultrasound mudah alih bagi mempercepatkan proses penilaian dan diagnosis pesakit.
Menurutnya, sebagai tanda sokongan terhadap usaha yang dilaksanakan oleh Pink Ribbon Centre, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi membantu pelaksanaan program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada pesakit kanser serta keluarga mereka.
Jelas Halimaton, dalam rawatan kanser, masa merupakan faktor yang amat kritikal dan sebarang kelewatan mendapatkan diagnosis atau rawatan boleh memberi kesan kepada tahap penyakit serta emosi pesakit.
“Keperluan ini perlu diberi perhatian sewajarnya dan akan dipanjangkan kepada pihak berkaitan untuk pertimbangan serta tindakan lanjut,” katanya ketika mengadakan lawatan rasmi ke Pink Ribbon Centre di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kewujudan Pink Ribbon Centre amat penting kerana bukan sahaja menyediakan maklumat dan bantuan kepada pesakit, malah menjadi platform sokongan yang membantu mereka memperoleh kekuatan, harapan dan motivasi sepanjang menjalani rawatan.
Menurutnya, perjuangan melawan kanser bukan tanggungjawab doktor dan hospital semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Kedah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memperluaskan manfaat Bantuan Pesakit Terlantar kepada pesakit kanser yang memenuhi syarat kelayakan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.
Beliau turut mengakui kos pengangkutan dan penginapan bagi pesakit yang perlu menjalani rawatan radioterapi di Pulau Pinang masih menjadi antara cabaran utama yang dihadapi pesakit serta keluarga.
“Tiada pesakit yang sepatutnya tercicir daripada menerima rawatan hanya kerana kekangan kewangan. Oleh itu, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan kebajikan pesakit terus terpelihara.
"Saya berharap kerjasama antara kerajaan negeri, hospital, NGO dan sektor korporat dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan pesakit kanser di negeri ini sentiasa diberi perhatian," katanya lagi.
Post a Comment