Header Ads

test

PENGHULU PERLU MANFAATKAN TEKNOLOGI DIGITAL, MUDAHKAN URUSAN RAKYAT


Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Penghulu di negeri ini perlu bergerak seiring dengan arus pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih pantas, cekap dan berkesan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memudahkan urusan rakyat selain menggunakan media sosial secara berhemah bagi menyampaikan maklumat sahih dan mempercepatkan urusan.
"Penghulu hari ini perlu menjadi seorang pemimpin masyarakat yang serba boleh kerana cabaran masyarakat kini jauh berbeza berbanding dahulu," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-51 Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Cawangan Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menurut beliau, peranan penghulu juga perlu terus diperkasakan termasuk di kawasan bandar yang kini berdepan pelbagai isu baharu dan cabaran masyarakat yang semakin kompleks.
Katanya, penghulu merupakan wajah kerajaan yang paling dekat dengan rakyat serta menjadi mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi.
"Setiap kali berlaku kematian, banjir, rumah terbakar atau orang hilang, penghulu yang dicari. Rakyat meletakkan harapan tinggi kepada penghulu untuk membantu menyelesaikan pelbagai masalah," katanya.
Sanusi berkata, penghulu juga berperanan sebagai orang tengah yang menghubungkan rakyat dengan pemimpin serta pentadbir kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggariskan enam perkara kepada penghulu sebagai panduan, iaitu perlu sentiasa dekat dan memahami kehidupan rakyat, bersedia turun padang, bergelumang dengan semua lapisan masyarakat, menjadi penghubung berkesan antara rakyat dan kerajaan, memberikan perkhidmatan terbaik serta memanfaatkan tenaga golongan penghulu muda untuk bekerja lebih gigih.
“Penghulu pada masa kini mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi sekali gus mampu memikul tanggungjawab dengan lebih baik selain perlu terus meneroka peluang dan menguasai pelbagai bidang bagi memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Sanusi berkata, ketika ini terdapat 107 penghulu sedang berkhidmat di Kedah daripada 126 jawatan yang diperuntukkan.
“Saya harap kekosongan jawatan yang masih ada dapat diisi supaya seluruh kawasan mukim mendapat perkhidmatan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta setiap tahun bagi membina dan membaik pulih pejabat penghulu yang uzur di seluruh negeri ini.
“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memperkasakan institusi penghulu. Pejabat penghulu bukan sekadar bangunan pentadbiran, sebaliknya berfungsi sebagai pusat khidmat rakyat yang menjadi nadi kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi," katanya.

Tiada ulasan