Header Ads

test

PREMIS KITAR SEMULA DIDENDA RM30,000 GAGAL PATUHI SYARAT LESEN


 Roslinda Hashim

SUNGAI PETANI - Sebuah syarikat kitar semula atau pemerolehan kembali luar tapak (buangan terjadual) didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah gagal mematuhi syarat kelulusan lesen yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Syarikat yang diwakili pengarahnya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Dalam rayuannya, syarikat yang tidak diwakili peguam itu memohon hukuman diringankan atas alasan telah mengambil tindakan pembetulan segera bagi menangani isu berkenaan selain ia merupakan kesalahan pertama sejak syarikat beroperasi.
Syarikat itu turut memaklumkan, komitmen mereka menggaji lebih 40 pekerja tempatan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada syarikat terbabit serta industri lain agar sentiasa mematuhi syarat lesen yang dikeluarkan dan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Seksyen 16(2) akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Sementara, Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab memaklumkan, syarikat berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menyimpan buangan terjadual Kod SW104, SW409 dan SW410 dalam bekas tidak bertutup serta gagal melabel buangan tersebut dengan tarikh penerimaan.
Menurutnya, kesalahan itu dikesan hasil siasatan penguatkuasaan yang dijalankan pegawai JAS Kedah cawangan Sungai Petani di sebuah premis yang beroperasi di Kawasan Perusahaan Sungai Petani pada 29 September 2025.
“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi syarat kelulusan lesen yang dikeluarkan, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Tiada ulasan