HAIM HILMAN DIHADAPKAN KE MAHKAMAH ESOK ISU AKSES PENDIDIKAN TINGGI
“SAYA TETAP PERTAHAN DAN AKAN TERUS BERSUARA”
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah akan berhadapan pertuduhan di Mahkamah Majistret Seremban esok, berhubung isu akses pendidikan tinggi yang dibangkitkan beliau sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu memaklumkan akan hadir ke mahkamah pada 9 pagi bagi menghadapi pertuduhan berkenaan dan akan memberi kerjasama penuh kepada proses perundangan.
Menurutnya, tindakan itu tidak akan menghalangnya daripada terus memperjuangkan hak pelajar khususnya golongan B40 dan M40 untuk mendapat peluang pendidikan tinggi yang lebih adil.
“Saya akan hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada 25 Jun 2026 jam 9 pagi bagi menghadapi pertuduhan berkaitan isu akses pendidikan tinggi yang saya bangkitkan demi mempertahankan hak anak-anak Malaysia, khususnya daripada keluarga miskin B40 dan M40.
“Insya-Allah saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan dan akan terus bersuara sehingga kebenaran ditegakkan serta peluang pendidikan yang adil untuk anak-anak Malaysia tanpa mengira bangsa, terbela,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Haim Hilman menegaskan beliau tidak akan menarik balik pendiriannya berhubung dakwaan kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) menerusi saluran terbuka yang diistilahkannya sebagai ‘pintu belakang’.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kenyataannya berdasarkan data, fakta dan bukti sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah.
“Saya sedia menjawabnya dengan data, fakta dan bukti secara terbuka. Sekiranya perkara ini diputuskan di mahkamah, saya yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk kebenaran,” katanya.
Haim Hilman tegaskan, beliau menghormati hak KPT untuk mengambil tindakan namun tidak akan menarik balik pendiriannya berhubung isu yang disifatkan melibatkan ketelusan sistem kemasukan ke UA.
Pada 15 Jun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Haim Hilman susulan kenyataannya berhubung terdapat universiti awam ‘menjual tempat’ kepada pelajar berkemampuan serta wujud puluhan ribu kemasukan pelajar melalui saluran yang beliau istilahkan sebagai ‘pintu belakang’.
Pada program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan, Haim Hilman mendedahkan terdapat UA menawarkan tempat kepada pelajar berkemampuan selain wujud puluhan ribu pelajar memasuki IPTA melalui 'pintu belakang' atau saluran terbuka.
Post a Comment