AT&S TAMBAH PELABURAN, METERAI PERJANJIAN PAJAKAN TAPAK BAHARU DI KHTP
Roslinda Hashim
KULIM - Syarikat pengeluar teknologi semikonduktor, AT&S Malaysia terus memperkukuh komitmen pelaburannya di Kedah apabila memeterai Perjanjian Pajakan bagi Plot 9 seluas 12.77 ekar di Zon Perindustrian Fasa 4A (IZP4A), Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
Perolehan tapak ini merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat bagi menyokong pelaburan jangka panjang bernilai antara €1.5 bilion hingga €2.0 bilion (RM10 bilion).
Majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah antara Kulim Technology Park Corporation (KTPC) dan AT&S Malaysia itu disaksikan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, pada Isnin.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTPC, Dato' Mohd. Sahil Zabidi, manakala AT&S Malaysia diwakili Naib Presiden Kanan merangkap Pengarah Urusannya, Yap Suan See.
Menurut kenyataan dikeluarkan AT&S Malaysia, perolehan Plot 9 merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat bagi memenuhi peningkatan permintaan global terhadap teknologi semikonduktor termaju dan elektronik berprestasi tinggi, selain disokong komitmen pelanggan jangka panjang.
“Ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh kehadiran AT&S Malaysia di KHTP.
“Kawasan pembangunan sedia ada syarikat di KHTP kini hampir mencapai kapasiti maksimum, justeru tapak tambahan itu akan menyediakan ruang yang diperlukan bagi menyokong pelan pengembangan operasi dan pertumbuhan syarikat pada masa hadapan.
"Plot 9 akan dimanfaatkan untuk menyokong keperluan operasi dan infrastruktur kampus AT&S Malaysia yang terus berkembang, termasuk keperluan tenaga kerja syarikat yang kini melebihi 3,000 orang,” menurut kenyataan itu.
AT&S Malaysia memaklumkan, fasiliti pengeluaran generasi baharu yang sedang dibangunkan secara berperingkat disasarkan akan mula beroperasi menjelang akhir tahun 2027.
“Dalam jangka panjang, Plot 9 berada pada kedudukan strategik untuk menyokong fasa pembangunan infrastruktur seterusnya, memperkukuh kapasiti pembuatan teknologi tinggi serta menyokong penerapan teknologi masa hadapan di Kulim,” katanya.
Menurutnya, perkembangan tersebut mencerminkan keyakinan AT&S Malaysia terhadap potensi jangka panjang Malaysia, khususnya KHTP sebagai hab utama pembuatan elektronik dan semikonduktor termaju di rantau ini.
“Pelaburan berterusan itu juga akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara menerusi pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan, pengukuhan rantaian bekalan domestik serta kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Michael Mertin mengumumkan pelaburan sehingga RM10 bilion di Malaysia bagi memperluaskan operasi pengeluarannya di Kulim, sekali gus memanfaatkan pertumbuhan pesat industri kecerdasan buatan (AI) global.
Beliau berkata, syarikat itu melaksanakan peluasan sepenuhnya kemudahan sedia ada di Kulim bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur AI.
Tambah beliau, pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya lima syarikat teknologi tinggi terkemuka dari Amerika Syarikat akan menjadi rakan teknologi dalam projek peluasan tersebut.
BERITA BERKAITAN:
AT&S TAMBAH PELABURAN RM10 BILION DI KULIM, MANFAATKAN LEDAKAN AI
https://www.facebook.com/share/p/18yWKWe5iS/

Post a Comment