Header Ads

test

SANUSI AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP INDIVIDU PUTAR BELIT UCAPAN

“LEBIH RAMAI BAKAL TERIMA LOD”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan lebih ramai individu bakal menerima surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) susulan tindakan memutar belit ucapan beliau ketika berkempen di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Menurut beliau, pasukan peguamnya kini sedang menguruskan penyerahan LOD kepada pihak yang menokok tambah, memesongkan fakta serta mengulas kenyataannya di luar konteks sebenar sehingga menjejaskan reputasinya.
Tambah beliau, lebih ramai individu berada dalam senarai untuk menerima LOD sekiranya didapati melakukan tindakan sama.
"Penyerahan LOD ini sedang diuruskan oleh pasukan peguam. Ada ramai lagi dalam senarai untuk menerima LOD seumpama ini dengan tuntutan yang sesuai mengikut tindakan mereka.
"Mereka memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan perkara yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang telah diputar belit tanpa diperiksa, selain memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar.
"Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua," katanya, hari ini.
Antara individu terawal menerima LOD ialah Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.
Menerusi surat tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Faizi & Associates bertarikh 27 Julai, Sanusi mendakwa Dr. Sathia memfitnah beliau menerusi kenyataan media dan video yang dimuat naik di akaun TikTok berkaitan ucapannya di Negeri Sembilan.
Surat berkenaan menyatakan Dr. Sathia secara tidak tepat mengaitkan beliau dengan kenyataan berbunyi ‘India baliklah India’ dan ‘Cina baliklah China’, sedangkan frasa berkenaan tidak pernah diucapkan oleh Menteri Besar Kedah itu.
Sebaliknya, surat tuntutan berkenaan menjelaskan ucapan sebenar Sanusi hanya menyentuh hakikat bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air, manakala bangsa lain mempunyai negara asal masing-masing.
Peguam beliau turut menyatakan tindakan memetik sebahagian ucapan, menambah perkataan tertentu serta menyunting rakaman video telah menjejaskan reputasi anak guam mereka dan dilakukan dengan niat jahat.
Sehubungan itu, Dr. Sathia diberi tempoh tujuh hari untuk menarik balik video TikTok berkenaan, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka serta mencadangkan jumlah ganti rugi kepada Sanusi.
Surat tersebut turut memaklumkan tindakan undang-undang akan dimulakan tanpa notis lanjut sekiranya tuntutan itu gagal dipenuhi.
Pada Sabtu, Sanusi menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang memanipulasi kenyataannya berkaitan sejarah bagi kepentingan politik.
Beliau turut memaklumkan laporan polis akan dibuat terhadap pihak terbabit, sambil menjelaskan ucapan berkenaan adalah berasaskan fakta sejarah dan tidak ditujukan kepada mana-mana kaum atau pihak tertentu.
Pada Ahad, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berhubung tindakan Dr. Sathia mengeluarkan kenyataan tidak benar berkaitan petikan ceramah Sanusi.
Katanya, tuduhan kononnya Sanusi menyebut frasa 'Kalau India balik India, kalau Cina balik China' adalah tidak tepat, menghasut dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di negara ini.
Dalam ucapan ceramah tersebut, Sanusi antara lain berkata, “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”

 

Tiada ulasan