INOKOM KULIM KENDALI PEMASANGAN TUJUH JENAMA GLOBAL, KUKUHKAN HAB AUTOMOTIF SERANTAU
Roslinda Hashim
KULIM - Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat pemasangan automotif kontrak terkemuka negara apabila fasiliti seluas 200 ekar di Kulim kini mengendalikan pemasangan kenderaan bagi tujuh jenama automotif antarabangsa, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pembuatan automotif serantau.
Jenama yang dipasang di kilang berkenaan ialah tiga jenama Jerman, iaitu BMW, MINI dan Porsche; dua dari Korea (Hyundai dan Kia) serta masing-masing satu dari Jepun (Mazda) dan China (Chery).
Kenderaan yang dipasang di kilang Inokom bukan sahaja dipasarkan di Malaysia, malah turut dieksport ke beberapa negara ASEAN.
Inokom kini antara tonggak penting perniagaan automotif bagi Sime Darby Berhad (Sime).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sime, Dato' Jeffri Salim Davidson berkata, pencapaian itu membuktikan industri automotif Malaysia memiliki keupayaan bertaraf dunia dan terus mendapat kepercayaan pengeluar automotif terkemuka.
Menurutnya, sebagai langkah memperkukuh kapasiti pengeluaran, Inokom melancarkan kemudahan cat baharu lebih canggih bagi memperluaskan lagi kapasiti operasi, keupayaan pengilangan serta daya saing syarikat di rantau ASEAN.
"Inokom membuktikan keupayaan yang boleh dicapai oleh industri Malaysia. Kami terus diberi kepercayaan oleh jenama automotif terkemuka dunia. Ia mencerminkan kekuatan industri khususnya sektor pembuatan bernilai tinggi negara selaras dengan agenda GEAR-uP, yang dibina berasaskan kepakaran dan keupayaan negara di peringkat global," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, fasiliti Inokom yang beroperasi sejak 1997 itu dilengkapi kemudahan bersepadu menghasilkan kenderaan lengkap merangkumi kimpalan badan kenderaan (Body Shops), fasiliti cat (Paint Shops), fasiliti pemasangan (Assembly Shops) dan Gudang Pusat (Centralised Warehouses).
Kesemua operasi tersebut dikendalikan lebih 2,700 tenaga kerja mahir yang keseluruhannya adalah rakyat tempatan.
Kilang yang beroperasi hampir tiga dekad itu dimiliki majoriti oleh Sime Motors (51%), dengan pemegang saham utama lain, Sime Darby Hyundai (5%), Hyundai Motor Company dari Korea Selatan (15%) dan Bermaz Auto (29%).
“Prestasi pengeluaran syarikat turut menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah kenderaan yang dipasang meningkat daripada 20,500 unit pada 2021 kepada lebih 31,800 unit pada 2025.
“Dalam tempoh sama, lebih 24,500 unit kenderaan berjaya dieksport ke pasaran serantau, sekali gus meletakkan Inokom antara pengeksport automotif terbesar di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, selain operasi pemasangan, Inokom turut memperkukuh ekosistem automotif negara menerusi kerjasama dengan 370 vendor tempatan, termasuk syarikat Bumiputera, yang kini menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan globalnya.
Perkembangan syarikat itu turut dipacu oleh kerjasama strategik bersama beberapa pengeluar automotif utama dunia.
Sebelum wujudnya kilang di Kulim, kerjasama Hyundai dan Inokom sudah bermula seawal 1993. Pada 2000, kilang tersebut diperluas kepada pemasangan kenderaan komersial dan penumpang, bermula dengan Inokom Lorimas (Hyundai Porter) disusuli Inokom Atos pada 2002.
Kerjasama dengan Mazda bermula dengan pemasangan model Mazda 3 CKD pada 2012, yang menjadi titik mula Inokom sebagai kilang pemasangan bagi kenderaan yang dipasang sepenuhnya di rantau ASEAN pada ketika itu.
Manakala Porsche memilih Inokom sebagai pusat pemasangan pertamanya di luar Eropah pada 2021, seterusnya dieksport ke Thailand bermula pada 2024.
Chery menyertai fasiliti di Inokom pada 2023 menerusi pemasangan model Omoda dan Tiggo, termasuk Chery Omoda E5 yang menjadi kenderaan elektrik (EV) pertama dipasang di kilang berkenaan.
Inokom turut menempatkan Kilang Pemasangan Enjin BMW Group, yang mula beroperasi pada 2009 dan kini diiktiraf sebagai kilang pemasangan enjin BMW ketiga terbesar di dunia.
Sejak 2018, lebih 11,800 unit BMW dan MINI yang dipasang di Inokom Kulim dieksport ke Filipina dan Thailand, selain meraikan pengeluaran kenderaan BMW ke-100,000 pada 2022.
Menurut Jeffri, tahun ini turut mencatat sejarah apabila BMW i5 eDrive40 M Sport yang dipasang di Inokom menjadi model BMW elektrik sepenuhnya, yang pertama dipasang di rantau Asia Pasifik.
“Persekitaran automotif semakin pantas berubah dengan teknologi serta pasaran baharu. Kami tekad memastikan Inokom kekal di hadapan dengan terus melabur dalam pembangunan modal insan, menaik taraf piawaian dan meluaskan keupayaan bagi memastikan syarikat kekal berdaya saing dalam landskap automotif global.
“Sebagai peneraju industri di NCER, Inokom berjaya membangunkan kemahiran bernilai tinggi bagi menyokong perniagaan tempatan dan menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara,” tambahnya.
Post a Comment