KARTEL BERAS: BURU DAN TUMPASKAN RANGKAIAN, JANGAN SEKADAR NAIKKAN HUKUMAN
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan digesa memberi tumpuan serius menumpaskan kartel beras dengan memperkukuh penguatkuasaan, bukan sekadar menaikkan kadar hukuman menerusi Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pindaan akta yang meningkatkan denda sehingga RM500,000 terhadap individu dan RM1 juta kepada syarikat bukan jaminan untuk membanteras penyelewengan sekiranya kadar sabitan kes masih rendah.
Menurutnya, kerajaan perlu dedahkan statistik sabitan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 sepanjang lima tahun lalu kerana hukuman yang berat tidak akan menggerunkan pesalah tanpa penguatkuasaan berkesan.
“Jika kadar sabitan rendah, hukuman setinggi mana sekalipun tidak akan menakutkan kartel. Yang menggerunkan penjenayah bukan besarnya hukuman, tetapi kepastian bahawa mereka akan ditangkap, didakwa dan disabitkan," katanya.
Beliau kesal kerana sehingga kini masih tiada penjelasan mengenai identiti, penguasaan pasaran serta tindakan yang diambil terhadap kartel beras, sedangkan rakyat berhak mengetahui siapa dalang di sebalik rangkaian tersebut.
"Jika kartel benar-benar wujud, mengapa mereka masih menguasai pasaran? Kalau kartel tidak wujud, mengapa harga dan bekalan boleh berubah serentak di seluruh negara? Kerajaan mesti beri penjelasan lebih telus," katanya.
Isu berkenaan dibangkitkan beliau dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat.
Ahmad Tarmizi turut menyokong pemberian kuasa lebih luas kepada pegawai penguat kuasa, namun mengingatkan kerajaan supaya kuasa itu tidak disalahgunakan terhadap pengilang kecil, pemborong kecil dan pesawah yang hanya melakukan kesilapan pentadbiran.
Sebaliknya, katanya, tindakan tegas perlu difokuskan terhadap sindiket besar yang mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit daripada manipulasi pasaran.
“Saya sokong perketatkan penguatkuasaan. Namun pindaan ini hanya menguatkan hukuman, tetapi belum tentu menguatkan sistem.
“Sindiket besar dan dalang yang mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit perlu diburu. Bukan hanya pemain kecil yang menjadi mangsa,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya setiap tindakan penyitaan dan pelucuthakan di bawah akta berkenaan dibentangkan kepada Parlimen bagi memastikan wujudnya mekanisme semak dan imbang.
Mengulas krisis bekalan beras putih tempatan sejak 2023, Ahmad Tarmizi mempersoalkan ke mana perginya bekalan beras tempatan sedangkan Malaysia menghasilkan jutaan tan padi setiap tahun.
Katanya, kerajaan perlu menjelaskan sama ada berlaku manipulasi dalam rantaian bekalan atau pencampuran beras tempatan dengan beras import demi mengaut keuntungan.
"Apakah hasil siasatan terhadap punca sebenar kehilangan bekalan beras tempatan? Berapa syarikat didakwa, berapa lesen dibatalkan dan berapa individu dipenjarakan? Jika jumlahnya terlalu kecil, masalah sebenar ialah kegagalan penguatkuasaan," katanya.
Beliau turut menegaskan, kebajikan kira-kira 200,000 pesawah tidak boleh dipinggirkan kerana golongan itu masih berdepan peningkatan kos pengeluaran termasuk baja, racun, diesel, jentera dan upah menuai, sedangkan pendapatan kekal rendah.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan manfaat sebenar pindaan akta berkenaan kepada pesawah.
“Selepas pindaan akta diluluskan, adakah pendapatan mereka meningkat, kos pengeluaran dapat dikurangkan, sama ada harga lantai padi akan dikaji semula? Atau hanya hukuman meningkat tetapi nasib pesawah tidak berubah?” soal beliau.
Ahmad Tarmizi juga mengingatkan bahawa Tahap Sara Diri (SSL) beras negara yang masih sekitar 56 hingga 62 peratus menunjukkan Malaysia masih bergantung kepada hampir 40 peratus import bagi keperluan beras negara.
Katanya, keadaan itu meletakkan negara pada risiko tinggi berdepan gangguan bekalan makanan susulan perubahan iklim, konflik geopolitik dan sekatan eksport oleh negara pengeluar.
"Adakah ini sebahagian daripada Pelan Transformasi Industri Padi Negara atau sekadar penyelesaian jangka pendek terhadap krisis semasa.
"Kejayaan sebenar bukan sekadar naikkan hukuman, tetapi apabila rakyat mudah dapatkan beras tempatan, pesawah menikmati pendapatan bermaruah, kartel benar-benar ditumpaskan, rantaian bekalan menjadi telus dan keselamatan makanan negara terus diperkukuh," katanya.
Tegas beliau, masalah industri padi negara bukan sekadar berpunca daripada kelemahan undang-undang, tetapi kegagalan kerajaan membina keseluruhan ekosistem yang telus, cekap dan adil kepada pesawah serta pengguna.
Post a Comment