Header Ads

test

KEDAH SEDIA JADI HAB PEMBIAKBAKAAN LEMBU SADO, PERKUKUH KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah komited memperkukuh sektor penternakan sebagai industri strategik yang mampu menjamin keterjaminan makanan negara, merancakkan ekonomi luar bandar serta meletakkan Kedah sebagai hab pembiakbakaan lembu sado berkualiti tinggi di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani berkata, Kerajaan Negeri terus memberi perhatian kepada pembangunan industri penternakan melalui pelbagai inisiatif termasuk meningkatkan mutu genetik ternakan, penyediaan teknologi moden seperti mesin dan peralatan ultrasound serta pembangunan modal insan bagi melahirkan penternak yang lebih berkemahiran.
Menurut beliau, Kedah kini mempunyai kira-kira 500 ekor lembu sado pelbagai kategori umur, selain 50 pengamal DIY Artificial Insemination (DIY AI) yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
"Lebih membanggakan, hampir 70 peratus penternak lembu sado terdiri daripada golongan belia yang memanfaatkan teknologi dan media sosial bagi memperluaskan pasaran serta memperkukuh jaringan perniagaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Karnival Kebajikan Haiwan dan Himpunan Lembu Sado Malaya 2026 di Taman Jubli Emas, di sini.
Menurut Dzowahir, Himpunan Lembu Sado Malaya 2026 yang julung kali menghimpunkan penternak dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kelantan membuktikan potensi besar industri tersebut untuk terus berkembang sebagai sektor bernilai tinggi, di samping menjadi platform perkongsian ilmu, teknologi dan pembangunan baka berkualiti.
Tambahnya, sebanyak 150 ekor lembu sado baka premium dipamerkan sepanjang karnival yang turut menampilkan pelbagai aktiviti berkaitan kebajikan haiwan, kesihatan veterinar dan keselamatan makanan berasaskan produk haiwan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sektor berkenaan.
"Saya mencadangkan agar program ini dijadikan acara tahunan rasmi negeri dengan penjenamaan baharu sebagai Kedah Sado Festival, sekali gus berpotensi muncul sebagai produk agro-pelancongan ikonik yang mampu menarik pelaburan, meningkatkan pendapatan penternak serta mengangkat Kedah sebagai peneraju industri lembu sado negara," kata beliau.

Tiada ulasan