Header Ads

test

MALAYSIA BERISIKO KETINGGALAN DALAM TEKNOLOGI JIKA GAGAL PERKASAKAN PHD STEM


Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disaran menilai semula strategi pembangunan pendidikan tinggi negara dengan memberi keutamaan kepada penghasilan lebih ramai graduan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mengelakkan Malaysia terus ketinggalan dalam persaingan teknologi global.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, KPT perlu berani mengubah keutamaan daripada sekadar memperluaskan akses ke universiti kepada membina ekosistem PhD STEM yang dibiayai, berkualiti serta mempunyai hubungan rapat dengan industri.
Menurut beliau, tanpa perubahan segera, Malaysia akan terus bergantung kepada teknologi luar dengan membeli teknologi, membayar lesen asing serta hanya menjadi pembekal tenaga kerja kepada inovasi yang dibangunkan negara lain.
"Malaysia tidak boleh berpuas hati hanya kerana berjaya melahirkan ramai graduan prasiswazah. Dunia masa depan bukan dikuasai oleh negara yang mempunyai paling ramai pemegang ijazah, tetapi oleh negara yang memiliki paling ramai pencipta teknologi," katanya.
Menurut Haim Hilman, lebih membimbangkan di peringkat pascasiswazah iaitu sarjana dan PhD, negara bagaikan tiada kawalan terhadap kemasukan pelajar asing, seolah tidak memberi keutamaan secukupnya kepada rakyat tempatan.
“Berdasarkan data di lima universiti utama negara, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), terdapat kira-kira 40,000 pelajar antarabangsa daripada keseluruhan 145,000 pelajar. Jumlah itu bersamaan 21.5 peratus daripada keseluruhan pelajar.
“Dianggarkan hanya sekitar 10 peratus atau 4,000 daripada pelajar antarabangsa berada di peringkat prasiswazah, manakala selebihnya atau kira-kira 36,000 orang mengikuti pengajian sarjana dan PhD," katanya.
Menurut beliau, situasi itu menunjukkan sebahagian besar kepakaran pensyarah serta profesor negara dimanfaatkan oleh pelajar antarabangsa di peringkat pascasiswazah, sedangkan negara masih kekurangan penyelidik tempatan dalam bidang strategik.
“KPT seolah terlepas pandang kepentingan pendidikan peringkat pascasiswazah untuk rakyat tempatan khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Sewajarnya KPT menjadikan pengajian peringkat pascasiswazah ini sama penting dengan peringkat prasiswazah,” katanya.
Haim Hilman menyarankan agar Malaysia mencontohi pendekatan Jepun yang menjadikan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi sebagai strategi utama memperkukuh daya saing negara.
Katanya, Jepun menyasarkan pengeluaran 20,000 graduan PhD setiap tahun kerana menyedari penguasaan bidang seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, bioteknologi, tenaga dan pertahanan bergantung kepada kekuatan penyelidik.
“Beza stategi Jepun berbanding Malaysia ialah Jepun memperbanyakkan rakyatnya memiliki PhD khususnya bidang STEM sama ada di dalam mahupun luar negara. Mereka mahukan rakyat mereka memiliki ilmu-ilmu penting itu untuk kelangsungan daya saing negara mereka.
"Sebaliknya, Malaysia dilihat lebih memberi penekanan kepada pengantarabangsaan universiti dengan membuka ruang luas kepada pelajar asing mengikuti program sarjana dan PhD, berbanding memperkukuhkan penyertaan rakyat tempatan," katanya.
Beliau turut memaklumkan kira-kira 1.4 peratus daripada 123 juta penduduk Jepun memiliki kelayakan PhD, berbanding Malaysia hanya sekitar 0.265 peratus daripada 34 juta penduduk.
"Jurang ini menunjukkan nisbah rakyat Jepun yang memiliki PhD adalah lebih lima kali ganda berbanding Malaysia, sekali gus membuktikan keperluan mendesak untuk negara menyusun semula strategi pembangunan bakat penyelidikan demi kelangsungan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi," katanya.

Tiada ulasan