Header Ads

test

KILANG BERASASKAN GETAH DIARAH HENTI OPERASI, CETUS BAU BUSUK

Roslinda Hashim

KULIM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengarahkan sebuah kilang berasaskan getah menghentikan operasi dua unit dapur (furnace) memasak sisa getah terpakai, selepas disyaki menjadi punca pencemaran bau yang mengganggu penduduk Kampung Batu Puteh di sini.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan yang dijalankan antara pukul 9 malam hingga 11 malam semalam mendapati masalah bau berpunca daripada kegagalan sistem alat kawalan pencemaran udara di premis berkenaan.

Menurutnya, tindakan Penahanan Kelengkapan Operasi (POK) itu diambil hasil siasatan yang dijalankan bersama Cawangan Risik PSP Bukit Aman Zon Utara, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Beberapa sampel sisa getah terpakai turut diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis, manakala Notis Arahan telah dikeluarkan kepada premis bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan tahap pematuhan premis terhadap peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan