Header Ads

test

PELAKON ‘THE KERIS’ TERUJA BERGANDINGAN DENGAN SANUSI

 

“SYAZLIE SYAZZ, RAJA AZREY AKUI KEMUNCULAN KHAS MB KEDAH BERI IMPAK BESAR”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kemunculan istimewa Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam filem ‘The Keris’ disifatkan memberi suntikan semangat dan nilai tambah kepada karya aksi berunsurkan epik sejarah Melayu itu.
Barisan pelakon dan pengarah ‘The Keris’ teruja bergandingan dengan pemimpin tersohor itu di pentas lakonan yang menjadikan ia pengalaman baharu mereka di lokasi pengambaran.
Pelakon utama, Syazlie Syazz, mengakui pada mulanya sukar mempercayai apabila dimaklumkan Menteri Besar Kedah bersetuju tampil dalam filem berkenaan.
"Apabila mula-mula dengar Dato’ Seri Sanusi berlakon filem ini, saya rasa gementar dan tak percaya. Tetapi apabila berada di set penggambaran bersama beliau, saya rasa seronok dapat bekerjasama.
"Saya juga ada babak bersama Dato’ Seri. Beliau tampil memberikan kata-kata semangat untuk babak dalam filem itu dan sedikit sebanyak kami berlakon bersama," katanya.
Syazlie Syazz yang memegang watak utama turut mengakui beliau sememangnya mengagumi kepimpinan Menteri Besar Kedah itu.
"Saya memang minat dan hormat Dato’ Seri Sanusi sejak dulu. Saya suka cara beliau membawa isu-isu semasa dan berharap usaha itu diteruskan demi kebaikan rakyat Malaysia," katanya.
Bagi pelakon Raja Azrey Raja Kamaruzzaman yang membawakan watak Hang Jebat, penglibatan pemimpin ternama seperti Sanusi memberi impak positif kepada promosi filem berkenaan.
"Saya sendiri pada mulanya tidak percaya apabila dimaklumkan MB Kedah akan berlakon. Saya rasa teruja dan bangga kerana beliau beri perhatian kepada filem ‘The Keris’. Malah sudi berlakon bersama kami dan agak terharu dengan komitmen beliau.
"Sedikit sebanyak penglibatan beliau memberi impak baik kepada filem ini. Terima kasih kepada penerbit yang berusaha memastikan filem ini mendapat perhatian ramai," katanya.
Dalam pada itu, Syazlie Syazz menyifatkan peluang memegang watak utama sebagai titik perubahan terbesar dalam kerjayanya selepas hampir sedekad bergelar pelakon lagak ngeri.
Menurutnya, sepanjang hampir 10 tahun dalam industri, beliau lebih banyak terbabit sebagai pelakon lagak ngeri, penyelaras dan koreografer aksi termasuk mengendalikan babak letupan, kemalangan serta aksi berbahaya.
"Sebelum ini saya lebih banyak di belakang tabir sebagai stuntman. Apabila diberi peluang membawa watak hero, memang ia satu tanggungjawab besar.
"Ini ibarat 'bayi pertama' saya sebagai pelakon utama dan berharap ia menjadi permulaan kepada perjalanan baharu dalam bidang lakonan," katanya.
Tambahnya, antara keunikan ‘The Keris’ ialah hampir semua babak aksi dilaksanakan sendiri oleh pelakon tanpa terlalu bergantung kepada helah kamera.
"Semua aksi lagak ngeri saya lakukan sendiri. Banyak impak dan pertarungan dilakukan secara sebenar bagi memberikan pengalaman lebih realistik kepada penonton," katanya.
Pelakon berusia 28 tahun itu turut memuji komitmen pihak produksi yang majoritinya terdiri daripada masyarakat India tetapi mempunyai kesungguhan tinggi menghasilkan filem berteraskan budaya dan sejarah Melayu.
"Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk terlibat kerana mereka benar-benar mahu mengangkat budaya Melayu menerusi filem ini.
"Biarpun kebanyakan kami pelakon baharu, namun segala pengalaman yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berikan yang terbaik," katanya.
Sementara itu, Raja Azrey berharap ‘The Keris’ diterima baik penonton kerana ia bukan sekadar filem aksi, malah sarat dengan elemen budaya, perpaduan dan sejarah.
"Banyak perkara tentang budaya yang boleh kita pelajari dalam filem ini. Saya teruja kerana filem yang mengangkat budaya serta sejarah Melayu diterbitkan oleh produksi India. Ia membuktikan budaya boleh menjadi medium penyatuan masyarakat pelbagai kaum.
“Saya harap filem ini mampu menyatukan masyarakat bukan sahaja di Kedah tetapi di seluruh negara. Kedah sendiri tentunya bangga kerana anak jati Kedah, Dr. T. Matheyalagan selaku penerbit menghasilkan sebuah cerita legenda,” katanya.
Sementara Pengarah ‘The Keris’, Viknes Perrabu menyifatkan Menteri Besar Kedah sebagai seorang pemimpin yang merendah diri dan mudah memberikan kerjasama sepanjang penggambaran.
"Saya sangat bersyukur diberi peluang mengarahkan Dato’ Seri dalam satu babak. Beliau sangat humble dan mudah bekerjasama," katanya.
‘The Keris’ yang diterbitkan dengan kos RM1 juta menggabungkan dua latar masa berbeza, iaitu era Hang Tuah dan zaman moden.
Filem yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 2 Julai ini dibintangi Syazlie Syazz, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Julia Larica, Raja Azrey, Datuk Jalaluddin Hassan serta menampilkan kemunculan khas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Tiada ulasan