“BUDAYA KRONI, KARTEL DALAM PEMBERIAN PROJEK, TIADA TEMPAT DI KEDAH” - SANUSI
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi jaminan budaya kroni, kartel mahupun campur tangan politik dalam pemberian projek kerajaan tidak diberi ruang di negeri ini.
Tegas beliau, sebaliknya setiap kontraktor berhak memperoleh peluang berdasarkan keupayaan serta kelayakan.
Menurut beliau, amalan mendapatkan projek kerana hubungan dengan individu berpengaruh atau menjadi penaja politik hanya akan mewujudkan ketidakadilan serta menjejaskan integriti sistem perolehan kerajaan.
"Kontraktor bukan semuanya kaya. Ramai tidak mendapat kerja kerana tidak menjadi kroni sesiapa atau tidak berada dalam kartel. Saya harap suasana ini dapat dibanteras di Kedah.
"Biarlah projek diberi berdasarkan kemampuan dan kelayakan, bukan kerana kita rapat dengan orang tertentu. Politik adalah politik, perniagaan bidang lain. Jangan campurkan kedua-duanya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Kedah Kali Ke-49, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, budaya mengaitkan perniagaan dengan politik menyebabkan hanya pihak yang mempunyai hubungan dengan individu berkuasa memperoleh projek, sedangkan mereka belum tentu memiliki kemampuan melaksanakannya dengan baik.
Menurutnya, keadaan itu turut memaksa segelintir kontraktor terlibat dalam politik semata-mata untuk mendapatkan projek, sedangkan amalan tersebut tidak sepatutnya berlaku.
"Saya harap semua kontraktor di Kedah tidak menjadi penaja politik atau menyertai kartel semata-mata mahu dapatkan projek. Ambillah kerja dengan cara yang betul kerana peluang yang diperoleh melalui jalan tidak betul tidak akan membawa keberkatan," katanya.
Beliau turut menegaskan sepanjang menerajui pentadbiran negeri, dirinya tidak mempunyai hubungan perniagaan dengan mana-mana kontraktor dan tidak pernah campur tangan dalam urusan pemberian projek.
"Biasanya kebaikan itu dibalas dengan habuan. Sebab itu saya tidak rapat dengan kontraktor, tidak ada syarikat dan tidak ada kepentingan dalam mana-mana perniagaan. Kalau orang jual nama saya di belakang, itu saya tidak tahu.
"Semua projek yang boleh dibuat secara cabutan undi akan dilaksanakan melalui kaedah itu, kecuali projek yang diberikan secara konsesi kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.
Dalam pada itu, Sanusi menggesa kontraktor membina reputasi menerusi hasil kerja berkualiti dan bukan bergantung kepada hubungan politik.
"Kontraktor perlu berdiri atas kaki sendiri. Hebat kerana hasil kerja yang baik, nama yang terjaga dan projek yang disiapkan dengan sempurna, bukannya kerana menjadi ahli mana-mana parti atau melobi pihak tertentu," katanya.
Beliau turut memberi jaminan semua agensi di bawah Kerajaan Negeri akan dipastikan mengamalkan tadbir urus yang telus, adil dan bebas daripada unsur kronisme, nepotisme serta kepentingan peribadi.
“Saya beri jaminan selama saya ada di sini, semua pihak kontraktor, agensi, pegawai bekerja dengan telus dan ikut hukum-hakam. Baru berkat kerja kita.
“Budaya yang terbina berpuluh-puluh tahun lalu, bila orang politik mengharapkan sesuatu daripada orang berniaga, orang berniaga pula mengharapkan sesuatu dengan orang politik. Cara itu tak betul maka rosaklah kita semua,” katanya.
Sementara itu, Sanusi mengakui industri pembinaan berdepan pelbagai cabaran termasuk kenaikan harga bahan binaan, kos buruh, kos logistik serta keperluan modal kerja yang semakin tinggi sehingga mengecilkan margin keuntungan kontraktor.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri akan terus menyediakan persekitaran kondusif bagi membolehkan kontraktor tempatan berkembang, selain memastikan syarikat yang benar-benar berkelayakan diberikan peluang menyertai projek pembangunan.
"Apabila diberi peluang, buktikan kemampuan menghasilkan kerja yang berkualiti, cekap dan lebih baik daripada orang lain.
"Kerajaan Negeri akan terus bersama industri bagi memastikan sektor pembinaan kekal berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan Kedah," katanya.
Beliau turut menyedari kekuatan kontraktor Melayu masih ketinggalan berbanding kontraktor kaum lain meskipun pelbagai agensi kerajaan diwujudkan bagi membantu meningkatkan keupayaan usahawan Bumiputera.
“Kontraktor Cina dan India dilihat lebih maju kerana memiliki rangkaian perniagaan serta kerjasama kukuh walaupun tidak mempunyai agensi khusus seperti disediakan kerajaan kepada kontraktor Melayu.
“Sepatutnya kontraktor Melayu lebih berdaya saing dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan. Lebih 90 agensi kerajaan diwujudkan untuk bantu orang Melayu, namun prestasi kontraktor Melayu masih belum mampu menandingi kontraktor kaum lain.
"Adakah agensi itu yang tidak berkesan atau kita sendiri yang perlu berubah?" katanya.
Post a Comment