KOMUNITI SEJAHTERA ASAS KEJAYAAN THE GREATER KEDAH
Ku Azizah Ku Hamid
PADANG SERAI – Pembinaan komuniti yang bersatu, harmoni dan saling bekerjasama merupakan asas penting dalam menjayakan agenda The Greater Kedah bermula daripada kekuatan institusi keluarga serta perpaduan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan dalam membangunkan negeri agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.
Menurut beliau, gagasan 'Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua' yang dibawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memberi penekanan supaya setiap pembangunan, peluang ekonomi dan kemudahan sampai kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
"Kalau kita mahu negeri ini maju, masyarakatnya mesti bersatu. Kalau kita mahu ekonomi berkembang, keluarga juga mesti kukuh.
"Program seperti ini bukan sekadar karnival, tetapi menjadi medan mengeratkan silaturahim, memupuk semangat bekerjasama dan membina masyarakat yang lebih kuat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival Padang Serai Sejahtera 2.0 dan Hari Komuniti Kampungku Sejahtera Tahun 2026 di Maahad Ibnu Umar, di sini.
Tambah beliau, pelbagai pengisian sepanjang karnival termasuk Fun Walk, sukan rakyat, pameran agensi kerajaan, aktiviti wanita, program kanak-kanak serta penyampaian bantuan kebajikan berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai peringkat usia dalam suasana penuh muafakat.
Beliau turut mengajak rakyat terus memperkukuh budaya gotong-royong, menyantuni jiran tetangga, mengimarahkan surau dan masjid serta memelihara perpaduan kerana masyarakat yang baik akan melahirkan sebuah negeri yang maju, aman dan diberkati.

Post a Comment