Header Ads

test

"PELANCONGAN BUDAYA KEDAH DAPAT SAMBUTAN"


 SERAMAI 566,889 PENGUNJUNG

MERIAHKAN TEMASYA ORANG KEDAH 2026

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 mencatat kejayaan apabila menarik seramai 566,889 pengunjung sepanjang penganjurannya, sekali gus membuktikan program berteraskan warisan dan budaya mampu menjadi pemacu sektor pelancongan serta ekonomi negeri, selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin berkata, sambutan luar biasa itu memperkukuh kedudukan Kedah sebagai destinasi pelancongan budaya yang kaya dengan warisan, sejarah dan identiti tersendiri.
Katanya, penganjuran TOK bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara, memperkasa dan menghidupkan semula seni serta budaya tempatan agar terus relevan untuk diwarisi generasi akan datang.
“Penganjuran TOK bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya merupakan manifestasi iltizam Kerajaan Negeri untuk memastikan warisan seni dan budaya terus dipelihara, diperkasakan serta dihidupkan agar kekal relevan kepada generasi masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pelancongan Budaya: Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 bersama Fantastic Food Fest by Kak Nab, di sini.
Menurut beliau, penganjuran TOK 2026 yang digabungkan dengan Fantastic Food Fest by Kak Nab bukan sahaja menyemarakkan suasana festival, malah membuka peluang kepada penggiat seni mempamerkan bakat, usahawan tempatan menjana pendapatan serta generasi muda menghayati semula warisan dan jati diri negeri.
Mohd Salleh berharap penganjuran TOK akan terus diperkasakan menerusi penyertaan lebih meluas daripada semua daerah di Kedah serta penglibatan aktif golongan muda supaya festival berkenaan terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan dan mampu mengangkat Kedah sebagai destinasi pelancongan budaya utama negara.

Tiada ulasan