MTSD LAHIRKAN GENERASI AL-QURAN, PEWARIS UMMAH CEMERLANG DUNIA AKHIRAT
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Graduan huffaz Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) menjadi manifestasi kejayaan melahirkan generasi al-Quran yang bukan sahaja mampu menghafaz kalam Allah, malah memahami, menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Pengarah Lembaga Maktab Mahmud, Jusrianuar Jamarudin berkata, kejayaan melahirkan generasi huffaz yang seimbang dizahirkan menerusi pencapaian cemerlang MTSD dalam bidang akademik dan kokurikulum.
“Pencapaian ini membuktikan institusi ini bukan sahaja melahirkan huffaz yang mantap hafazannya, malah pelajar yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani, selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi Huffaz Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) 2026 di sini, hari ini.
Majlis gilang-gemilang itu diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang berkenan merasmikan majlis berkenaan serta menyampaikan sijil graduasi dan anugerah khas kepada 45 graduan.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menurut Jusrianuar, MTSD turut mencatatkan kecemerlangan akademik sepanjang 2025 hasil dedikasi guru, kesungguhan pelajar serta sokongan padu ibu bapa.
“Seramai 33 pelajar memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat 8A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Daripada jumlah itu, enam pelajar memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat 12A, manakala dua daripadanya mencatatkan keputusan 11A+ dan 1A,” katanya.
Tambah beliau, selain kecemerlangan akademik, warga MTSD turut mengharumkan nama institusi menerusi pelbagai pencapaian dalam bidang kokurikulum.
Katanya, kejayaan tersebut dicapai hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan sekolah, guru yang berdedikasi, ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan serta pelajar yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Dalam pada itu, Jusrianuar turut menyeru para graduan supaya menjadikan al-Quran sebagai pedoman sepanjang hayat, selain terus menuntut ilmu serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
“Jadilah contoh teladan kepada masyarakat dan semoga para graduan sentiasa berada di bawah naungan hidayah Allah SWT serta menjadi pewaris ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Raja Muda Kedah atas keprihatinan baginda berkenan menyalurkan kurniaan agihan fidyah menerusi Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) kepada sekolah-sekolah di bawah kendalian Lembaga Maktab Mahmud bagi tahun 2026.
Menurutnya, agihan fidyah daripada MAIK ini amat bermakna kerana bukan sahaja membantu menyokong pengurusan institusi, malah memberi manfaat kepada kebajikan para pelajar.
Post a Comment