AKHLAK, INTEGRITI PENGUKUR SEBENAR KECEMERLANGAN PELAJAR, BUKAN SEKADAR AKADEMIK
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kecemerlangan sebenar pelajar bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik dan keputusan peperiksaan, sebaliknya merangkumi akhlak mulia, integriti, disiplin serta kemampuan menyumbang kepada masyarakat, negeri dan negara.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, sekolah memainkan peranan penting dalam membentuk generasi pewaris negara yang mampu menghargai kepelbagaian, mengutamakan keharmonian serta mempunyai jati diri yang kukuh.
“Dalam dunia yang semakin mencabar, nilai hormat-menghormati, toleransi, perpaduan dan semangat muafakat hendaklah terus dipupuk agar menjadi budaya dalam kalangan warga sekolah,” titah baginda.
Baginda berkenan berangkat menyampaikan titah sempena Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keat Hwa ke-56, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut Sultan Sallehuddin, sekolah bukan sahaja menjadi tempat menimba ilmu, malah merupakan institusi penting dalam melahirkan generasi yang membentuk masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan beradab.
Baginda turut menyambut baik usaha melahirkan pelajar yang mempunyai sifat kepimpinan, bertanggungjawab, bermoral, berdisiplin dan berhemah tinggi menerusi penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
“Sesungguhnya, aktiviti kokurikulum merupakan medan terbaik untuk memupuk keyakinan diri, semangat kerjasama, daya tahan dan kebolehan memimpin yang amat diperlukan dalam menghadapi cabaran masa hadapan,” titah baginda.
Sultan Kedah bertitah, matlamat sekolah yang memberi penekanan terhadap perkembangan potensi setiap pelajar secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan sahsiah amatlah dihargai.
Baginda bertitah, pendekatan tersebut penting dalam membentuk insan berilmu, beriman, berakhlak mulia serta mempunyai jati diri yang kukuh.
“Beta berharap kejayaan pada hari ini menjadi pemangkin untuk terus berusaha dengan lebih gigih, fokus dan berdisiplin,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik yang telah mencurahkan ilmu, tenaga dan bakti dengan penuh dedikasi dalam mendidik anak bangsa.
“Beta amat menghargai segala pengorbanan yang telah diberikan. Semoga warga pendidik akan terus bersemangat, beriltizam dan berinovasi dalam memperkasakan mutu pendidikan demi melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara,” titah baginda.
Baginda turut menyifatkan penganjuran Hari Anugerah Cemerlang bukan sekadar sebagai wadah menghargai pencapaian pelajar, malah menjadi lambang komitmen sekolah dalam melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing.
Post a Comment