Header Ads

test

SEMARAKKAN MERDEKA, MENELUSURI SUNGAI ANAK BUKIT KIBAR JALUR GEMILANG

 

Roslinda Hashim
ANAK BUKIT - Sungai Anak Bukit kembali ‘meriah’ dengan kehadiran hampir 100 bot menelusuri sungai itu sambil mengibarkan Jalur Gemilang dalam usaha menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak berkata, program berkenaan semakin mendapat sambutan dengan penyertaan meningkat saban tahun, berbanding hanya 50 bot ketika program itu mula diperkenalkan.
Menurut beliau, program anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Anak Bukit dan DUN Suka Menanti itu bukan sekadar menyemarakkan sambutan kemerdekaan, malah menjadi platform untuk menghidupkan semula nostalgia serta mempromosikan Sungai Anak Bukit sebagai lokasi pelancongan.
"Ini merupakan tahun ketiga program ini dianjurkan dan suasananya semakin meriah. Kita himpunkan bot nelayan darat dengan penyertaan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
"Bermula tahun ini, kita mahu jadikan program ini sebagai salah satu acara dalam kalendar tahunan Kedah," katanya ketika ditemui pada program Perarakan Bot Merdeka Kibar Jalur Gemilang sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-69, di sini, hari ini.
Program yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor itu dimeriahkan dengan perarakan hampir 100 bot bermula dari Kampung Alor Madi hingga ke Muzium Negeri sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Rashidi berkata, Sungai Anak Bukit dijadikan lokasi program kerana mempunyai nilai sejarah berkait Perang Musuh Bisik selain pernah menjadi laluan penting masyarakat dahulu.
"Kita mahu kembalikan nostalgia ini kepada generasi kini, pada masa sama mengetengahkan sejarah sungai ini yang wajar dikenang oleh rakyat Kedah.
"Kita juga mahu menghidupkan sungai ini sebagai lokasi pelancongan kerana pelbagai aktiviti boleh dijalankan di sini," katanya.
Menurutnya, usaha menghidupkan semula aktiviti tradisional seperti penggunaan perahu dan bot mendapat sambutan luar biasa, terutama kalangan masyarakat yang mahu merasai pengalaman suasana sungai seperti pada zaman dahulu.
Tambah beliau, potensi Sungai Anak Bukit semakin terserlah apabila menjadi sumber pendapatan penduduk menerusi aktiviti perikanan darat selain menjadi pusat rekreasi dan memancing.
Katanya, sebanyak 100,000 benih udang galah dilepaskan pada 2024, dan jumlah itu ditingkatkan kepada 200,000 benih pada 2025, termasuk pelepasan benih pelbagai jenis ikan.
"Apabila kita lepaskan benih ikan dan udang, aktiviti nelayan darat serta pengusaha bot semakin berkembang. Penduduk mula membeli bot gentian kaca dan aktiviti menjala serta memancing semakin rancak.
"Udang galah dari sungai ini dijual sekitar RM60 hingga RM80 sekilogram, sekali gus menjadi salah satu sumber pendapatan penduduk kampung," katanya.
Lebih menarik, katanya, Sungai Anak Bukit turut menjadi tarikan pemancing dari luar Kedah dan luar negara yang memburu Ikan Toman selain udang galah.
"Pelancong dari Singapura, Korea, Jepun dan Indonesia ada datang ke sini untuk memancing. Ikan Toman di sungai ini antara yang menjadi sasaran kerana sifatnya agresif dan menjadi tarikan kepada pemancing.
"Setiap minggu ada sahaja pelancong dari luar Kedah dan luar negara yang datang," katanya.
Rashidi berkata, selain aktiviti memancing, hasil sungai berkenaan turut dimanfaatkan penduduk untuk menghasilkan makanan tradisional Kedah seperti ikan pekasam, sekali gus membuka peluang pendapatan sampingan kepada masyarakat setempat.
"Saya harap Sungai Anak Bukit akan terus diketengahkan sebagai lokasi riadah, sumber pendapatan rakyat, selain menjadi destinasi pelancongan yang mempunyai nilai sejarah dengan keunikan tersendiri," katanya.

Tiada ulasan