Header Ads

test

JANGAN KHIANATI AGAMA, BANGSA SENDIRI

 

“SEJARAH TIDAK HARUS DILUPAKAN”
Roslinda Hashim
ANAK BUKIT - Orang Melayu yang mengkhianati agama dan bangsa sendiri merupakan golongan paling hina dalam sejarah serta tidak seharusnya dilupakan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, biarpun khianat atau belot terhadap agama dan bangsa mungkin boleh ditutupi dengan retorik atau alasan yang seakan munasabah, namun pengkhianatan tetap merupakan perbuatan yang tidak bermaruah.
Menurut beliau, sejarah juga membuktikan perjuangan menentang penjajah turut menyaksikan berlakunya pengkhianatan dalam kalangan orang Melayu sendiri, dan ia perlu dijadikan iktibar.
“Zaman dahulu pun sudah ada orang Melayu yang belot, zaman ini lebih ramai lagi. Mereka adalah golongan pengecut, tamak dan mementingkan diri.
“Orang yang khianat terhadap agama dan bangsa adalah golongan yang paling terkutuk dalam sejarah, tidak kira agama atau bangsa apa pun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Perarakan Bot Merdeka Kibar Jalur Gemilang sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-69 di Kampung Alor Madi, di sini, hari ini.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Anak Bukit dan DUN Suka Menanti itu menyaksikan hampir 100 bot menyertai konvoi dari Kampung Alor Madi hingga ke Muzium Negeri sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Menurut Sanusi, pengkhianatan terbesar yang boleh meruntuhkan bangsa sendiri hendaklah dielakkan pada masa kini.
“Dalam hidup ini, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan sama ada sengaja atau tidak sengaja. Tidak kira apa bentuk kesilapan atau kejahatan yang mungkin kita pernah lakukan, kita tidak akan dipandang lebih hina berbanding khianat terhadap agama dan bangsa sendiri,” katanya.
Sanusi turut berkongsi kisah sejarah Sungai Anak Bukit atau Sungai Kedah yang menjadi laluan perarakan bot merdeka yang menyimpan pelbagai kisah perjuangan rakyat Kedah menentang penjajahan sejak ratusan tahun lalu.
Katanya, sungai berkenaan bukan sekadar laluan air, malah menjadi lokasi berlakunya pelbagai pertempuran, khususnya ketika Perang Kedah-Siam antara 1821 hingga 1842.
“Ketika Tunku Kudin menyerang tentera Siam yang sudah menguasai Kota Kuala Kedah pada 1831, daripada kira-kira 300 orang yang mengawal Kota Kuala Kedah, hanya sekitar 70 orang sahaja tentera Siam, selebihnya adalah orang Melayu sendiri yang belot,” katanya.
Tambah beliau, kawasan Anak Bukit, Alor Madi, Alor Ganu dan Suka Menanti antara lokasi signifikan dalam sejarah Perang Kedah-Siam kerana menjadi medan pertempuran sengit dan antara kawasan paling teruk diserang tentera Siam selepas Kota Kuala Kedah.
Menurutnya, Alor Ganu ketika itu turut menjadi markas tentera Siam, selain menjadi lokasi bilik gerakan bagi mengatur serangan.
“Kalau hari ini kita berarak untuk meraikan kemerdekaan tanah air, datuk nenek kita dahulu berarak dengan perahu untuk pergi berperang.
“Jadi, saya ingin menyeru kepada semua masyarakat, khususnya anak muda, jangan kita sekadar berseronok dan meraikan pesta sungai ini. Kita kena ambil tahu apa yang ada di sebalik perarakan Bot Merdeka,” katanya.
Beliau berkata, program seperti ini penting bagi memberi peluang kepada generasi muda menghayati perjuangan dan pengorbanan nenek moyang dalam mempertahankan tanah air daripada penjajahan.
Katanya, usaha berkenaan perlu diteruskan sebagai acara tahunan bagi membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan anak bangsa.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, kemerdekaan negara yang memasuki tahun ke-69 tidak bermakna semua perkara sudah dicapai sepenuhnya.
“Banyak lagi aspek perlu ditambah baik. Banyak lagi benda-benda yang kita belum merdeka sepenuhnya.
“Kita belum dapat tentukan sendiri apa yang kita kehendaki. Semuanya telah ditentukan sebelum merdeka lagi dan kita warisi sampailah sekarang,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu merupakan antara perjuangan yang perlu diteruskan generasi hari ini sehingga generasi akan datang.
“Hal-hal inilah yang telah, sedang dan akan terus diperjuangkan oleh generasi sekarang sampai ke hari kebangsaan yang ke-100 mungkin.
“Barulah kita boleh bercakap daripada hati kita sendiri dalam meraikan Hari Kebangsaan ini,” katanya.

Tiada ulasan