TEMASYA ORANG KEDAH (TOK) 2026 DIJADIKAN ACARA TAHUNAN IKONIK KEDAH
“DIIKTIRAF DESTINASI PELANCONGAN BUDAYA NEGARA”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 dijadikan acara tahunan ikonik Kedah susulan sambutan menggalakkan sepanjang penganjurannya, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri Jelapang Padi sebagai destinasi pelancongan budaya negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato' Shaharuddin Abu Sohot berkata, TOK 2026 akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai produk pelancongan dan kebudayaan utama Kedah dan negara.
“Ini merupakan produk pelancongan dan kebudayaan dalam negara yang kita jadikan sebagai ‘signature event’ untuk Kedah. Ia juga akan diiktiraf sebagai acara tahunan ikonik Kedah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 di pekarangan Stadium Darul Aman.
Majlis perasmian disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang berkenan berangkat merasmikan festival pelancongan budaya itu.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Shaharuddin berkata, promosi TOK 2026 bukan sahaja dilaksanakan di dalam negara, malah turut diperluaskan ke peringkat antarabangsa khususnya Thailand dan Singapura menerusi pelbagai platform media sosial.
Menurutnya, usaha tersebut selaras dengan hasrat kerajaan menggalakkan pelancongan domestik bagi merancakkan ekonomi negara, di samping mengurangkan kebergantungan rakyat untuk melancong ke luar negara.
“Kita ingin menggalakkan pelancongan domestik. Jadi pelancong dalam negara dapat meningkatkan ekonomi negara kita dengan adanya produk seperti ini,” katanya.
Tambah beliau, sambutan terhadap TOK 2026 amat memberangsangkan apabila festival itu menerima kehadiran pengunjung dari pelbagai negeri termasuk Selangor, Perak dan Pulau Pinang selain pelancong dari Thailand dan Singapura.
Malah, beliau yakin sasaran pengunjung sehingga 550,000 sepanjang penganjuran festival itu mampu dicapai berdasarkan peningkatan jumlah pengunjung sejak hari pertama.
“Kita jangka kehadiran akan bertambah, lebih-lebih lagi pada hujung minggu sehingga hari terakhir 2 Ogos,” katanya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Shaharuddin memaklumkan, Kalendar Pelancongan Budaya sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 bagi setiap negeri telah disusun bagi memperkukuh sektor pelancongan negara menerusi pengisian seni, budaya dan warisan.
Katanya, TOK 2026 merupakan Program Pelancongan Budaya ketujuh anjuran MOTAC menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada tahun ini.
“Langkah strategik ini bertujuan mengangkat kebitaraan seni tempatan sebagai produk pelancongan berimpak tinggi yang bukan sahaja mampu menjana pulangan ekonomi, malah menjadi medium pendidikan, promosi serta pengukuhan identiti seni dan budaya negeri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebudayaan di Kedah menerima manfaat Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) berjumlah RM895,000 pada tahun lalu bagi merancakkan aktiviti seni serta memastikan kelestarian industri kreatif negara.
Mengulas perkembangan Kempen Melawat Malaysia 2026, Shaharuddin berkata, promosi berjalan seperti dirancang dengan ketibaan pelancong ke negara ini tidak menunjukkan kemerosotan ketara akibat krisis peperangan.
“MOTAC telah mengubah strategi promosi dengan memberi tumpuan kepada pasaran yang kurang terkesan dengan konflik peperangan antara Amerika Syarikat-Iran, seperti Korea Selatan, Hong Kong, China, Australia dan negara-negara Asia Tenggara.
“Setakat ini ketibaan pelancong menggalakkan dan kita yakin strategi ini akan terus membantu meningkatkan jumlah pelawat ke Malaysia sepanjang tahun ini,” katanya.
Post a Comment