Header Ads

test

TEMASYA ORANG KEDAH (TOK) 2026 SASAR JANA RM9 JUTA, TARIK 550,000 PENGUNJUNG

“GABUNGAN PELANCONGAN, KEBUDAYAAN, KEUSAHAWANAN, RANCAKKAN EKONOMI”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 menyasarkan janaan pendapatan sehingga RM9 juta dengan kehadiran lebih 550,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya, bermula 30 Julai hingga 2 Ogos di pekarangan Stadium Darul Aman.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sasaran itu lebih tinggi berbanding tahun lalu yang merekodkan penjanaan ekonomi sebanyak RM8.5 juta serta kehadiran seramai 544,000 pengunjung.
"Tahun lepas kita jana RM8.5 juta. Tahun ini kita sasar RM9 juta dan saya harap boleh cecah RM10 juta. Ia berdasarkan kemeriahan pengunjung yang menggambarkan orang Kedah mampu berbelanja dan ada kuasa beli," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian TOK 2026.
Majlis perasmian disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang berkenan berangkat merasmikan festival pelancongan budaya itu.
Menurut Sanusi, penganjuran kali keenam TOK 2026 diyakini mampu terus berkembang sehingga menjadi antara festival pelancongan budaya terbesar negara, dan meletakkan sasaran mencapai sejuta pengunjung pada masa hadapan.
"Saya berharap pada masa akan datang kita boleh tarik kehadiran sehingga sejuta orang ke program ini," katanya.
Beliau berkata, festival itu turut menerima kehadiran pelancong luar negara khususnya dari negara jiran seperti Thailand dan Singapura.
“Limpahan ekonominya bukan sahaja dirasai sektor pelancongan, malah memberi manfaat kepada pengusaha hotel, inap desa, usahawan makanan tradisional, pengusaha kraftangan, penggiat seni kreatif, peniaga kecil serta komuniti setempat.
"Sambutan festival makanan luar biasa. Saya harap ia dapat bantu usahawan mengembangkan produk masing-masing. Saya percaya mereka mampu catat jualan tinggi serta mewujudkan padanan perniagaan dan melahirkan lebih ramai usahawan baharu,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 130 gerai mengambil bahagian dalam TOK 2026 dengan kira-kira 30 peratus daripadanya disertai usahawan tempatan, manakala selebihnya melibatkan peniaga dari pelbagai negeri.
Sanusi berkata, TOK 2026 bukan sekadar festival hiburan, sebaliknya menggabungkan tiga komponen utama, iaitu pelancongan, kebudayaan dan keusahawanan bagi merancakkan ekonomi negeri.
Antara kelainan penganjuran tahun ini, ialah kewujudan reruai pejabat daerah mempromosikan produk dan keunikan daerah masing-masing.
"Sebagai contoh Padang Terap membawa pelbagai produk herba kerana daerah itu mempunyai kawasan hutan yang kaya dengan sumber herba yang diproses menjadi pelbagai produk," katanya.
Beliau turut menyifatkan kepelbagaian budaya di Kedah sebagai kekuatan utama negeri itu menarik pelancong.
"Inilah kehebatan Kedah, negeri ini lebih majmuk berbanding negeri lain. Kita ada masyarakat Melayu, Cina, India dan Siam yang hidup aman bersama. Kita ada 70,000 masyarakat Siam di Kedah dan kekayaan budaya mereka masih subur dan menjadi salah satu tarikan pelancongan negeri," katanya.
Terdahulu ketika berucap, Sanusi berkata, TOK merupakan manifestasi kecintaan terhadap warisan seni dan budaya yang diwariskan turun-temurun serta menjadi platform penting mengangkat khazanah budaya Kedah sebagai produk pelancongan bernilai tinggi.
“Penganjuran TOK 2026 bukan sahaja bertujuan memelihara khazanah budaya agar terus lestari malah mengangkat seni budaya tempatan sebagai produk pelancongan yang mampu beri nilai tambah kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Tambah beliau, program itu bukan sekadar medan hiburan dan rekreasi, ia menjadi wadah memperkukuh jati diri masyarakat, menyemai rasa bangga terhadap warisan negeri serta mendekatkan generasi muda dengan akar budaya bangsa yang semakin mencabar untuk dipertahankan dalam era moden.
"Kerajaan Negeri sentiasa komited menyokong pembangunan industri seni budaya kerana sektor ini bukan sahaja menjadi pemelihara identiti masyarakat, malah berpotensi besar menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi.
"Selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, TOK 2026 menjadi platform strategik memperkukuh kedudukan Kedah sebagai destinasi pelancongan budaya unggul di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.
Tegasnya, usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya merupakan tanggungjawab bersama yang perlu digalas seluruh lapisan masyarakat agar khazanah ini terus diwarisi generasi akan datang.
Festival pelancongan budaya yang mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan Kedah ini merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kerajaan Negeri Kedah, dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah, Kedah Tourism serta Nabilah Bahrin Group (Nb Group).

 

Tiada ulasan