Header Ads

test

JANGAN TOLAK TAWARAN KE IPT KERANA DIHIMPIT KEMISKINAN

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kemiskinan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak Kedah untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), terutama apabila berdepan kekangan menyediakan kos permulaan pengajian.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, bantuan awal pendidikan amat penting kerana terdapat ibu bapa yang tidak mampu menyediakan perbelanjaan apabila anak menerima surat tawaran ke IPT.
“Kadang-kadang ada anak yang menerima surat tawaran tetapi tidak dapat pergi kerana faktor kemiskinan. Sebab itu bantuan awal penting untuk membantu mereka membuat persiapan sebelum memulakan pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pengajian Tinggi 2026 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah kepada 31 penerima, di sini hari ini.
Menurut Mohd Azam, antara keperluan yang perlu ditanggung keluarga pada peringkat awal termasuk bayaran yuran serta pelbagai keperluan berkaitan pengajian.
Katanya, bantuan pendidikan tidak wajar dilihat hanya berdasarkan nilai wang yang disalurkan, sebaliknya perlu dianggap sebagai satu bentuk pelaburan untuk masa depan generasi muda.
“Jangan lihat bantuan ini hanya dari sudut nilai wang semata-mata. Lihatlah ia sebagai satu amanah besar kerana anak-anak kini berada di medan ilmu.
“Tanamkan azam yang kuat untuk berjaya dan suatu hari nanti, ilmu yang kita ada akan memberi manfaat kepada manusia yang lebih ramai,” katanya.
Beliau turut menghargai inisiatif DPMM Kedah dan golongan usahawan yang tampil menyumbang bagi membantu pelajar meneruskan pengajian tinggi pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih banyak pihak termasuk sektor swasta dan usahawan dapat meneruskan sokongan terhadap agenda pendidikan bagi memastikan lebih ramai anak daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat peluang melanjutkan pengajian.
Jelasnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan pembiayaan pendidikan bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk pengajian di peringkat diploma dan ijazah.
“Usaha bersepadu antara Kerajaan Negeri, ibu bapa, badan bukan kerajaan dan sektor swasta amat penting bagi memastikan isu kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak untuk meneruskan pendidikan,” katanya.

Tiada ulasan