Header Ads

test

PENDIGITALAN KEWANGAN: WANG RAKYAT DIJAGA, DATA DAN TEKNOLOGI DIMANFAATKAN

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Empat prinsip perlu menjadi pegangan Kerajaan Negeri dalam usaha mendigitalkan pengurusan kewangan, iaitu memastikan wang rakyat dijaga, data dimanfaatkan, teknologi digunakan sebaiknya dan amanah dipelihara.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pendigitalan bukan sekadar untuk membuktikan kerajaan menggunakan teknologi, sebaliknya perlu memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan tepat.
“Kita juga mahu ketirisan dapat dikesan, aliran wang lebih mudah dijejaki, risiko dikenal pasti lebih awal dan setiap keputusan dibuat berdasarkan maklumat yang sahih dan tepat.
“Matlamat utama ialah memanfaatkan teknologi supaya rakyat menerima perkhidmatan lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan Peringkat Negeri Kedah bertemakan ‘Pendigitalan Pengurusan Kewangan: Hala Tuju, Peluang dan Cabaran’, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, pendigitalan pengurusan kewangan juga perlu disertai keupayaan menggunakan data secara berkesan kerana data yang banyak tidak semestinya menjadikan pentadbiran lebih cekap jika hanya disimpan dalam sistem.
“Kita mahu pentadbiran yang bukan sekadar kaya dengan data, tetapi bijak membuat keputusan berdasarkan data.
“Data yang kita ada mesti diterjemahkan kepada keputusan. Keputusan mesti menghasilkan manfaat untuk rakyat. Itulah rantaian perkhidmatan yang berpaksikan amanah dan kebertanggungjawaban yang perlu kita bina dalam pengurusan kewangan Kerajaan Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya kerajaan tidak terlalu ghairah mengejar teknologi sehingga mengabaikan risiko yang semakin kompleks, khususnya ancaman siber, penipuan kewangan, kecurian data dan gangguan sistem dalam pengurusan wang rakyat.
Katanya, semakin kerajaan mendigitalkan pentadbiran, semakin kukuh kawalan perlu dibina terutama dalam aspek keselamatan siber, kawalan dalaman, fungsi audit, pengurusan risiko, perlindungan data termasuk integriti pegawai.
“Saya tidak mahu kita memiliki sistem paling moden tetapi kawalannya lemah dan berisiko,” katanya.
Menurut Sanusi, kecerdasan buatan (AI) kini turut mengubah cara manusia bekerja, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, justeru pentadbiran negeri perlu seiring dengan perubahan yang berlaku dalam persekitaran.
Namun katanya, kemajuan teknologi tidak boleh mengubah hakikat bahawa kerajaan perlu bijak menguruskan wang rakyat dan setiap sen yang diuruskan adalah amanah.
“Kita diberi kuasa untuk mengurus dan meluluskan projek, peruntukan, pembiayaan dan sebagainya atas dasar amanah yang berpaksikan kepentingan rakyat.
“Jangan melihat angka sebagai angka semata-mata. Di sebalik angka itu ada manusia yang mana kita dipertanggungjawabkan ke atas mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan menghapuskan budaya silo dalam pentadbiran apabila setiap unit, jabatan, agensi dan badan berkanun bekerja secara berasingan.
Katanya, rakyat melihat semua agensi sebagai satu kerajaan dan setiap urusan perlu dipermudahkan.
“Jika kita mengetahui terdapat ruang untuk menjimatkan wang rakyat tetapi tidak berusaha melakukannya, itu adalah kegagalan kita dalam melaksanakan amanah,” katanya.
Beliau juga mahu setiap ilmu diterjemahkan kepada tindakan menerusi sistem digital yang canggih, kemudahan data serta pegawai berkelayakan.
“Sematkanlah dalam hati, ilmu dan hasil mesti diterjemahkan kepada tindakan. Ilmu yang kita ada haruslah sepadan dan relevan dengan perubahan di persekitaran,” katanya.
Menurutnya, usaha memperkukuh pengurusan kewangan menerusi pendigitalan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah menjadi sebahagian daripada usaha membina budaya pentadbiran yang lebih baik dan mampan selaras gagasan ‘The Greater Kedah’.

Tiada ulasan